Tangkap ikan di pesisir pantai: Bot pukat tunda ditahan oleh APMM Labuan

FOTO: BOT pukat tunda yang ditahan oleh APMM Labuan di Tanjung Nosong, Kuala Penyu.

29 Januari2018

LABUAN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Labuan telah menahan sebuah bot nelayan tempatan di kedudukan lebih kurang tiga batu nautika timur laut Tanjung Nosong, Kuala Penyu pada jam kira-kira 5.55 pagi tadi.

Pengarah APMM Labuan, Kepten Maritim Che Adnan Md. Isa berkata, bot tersebut ditahan kerana telah melanggar syarat sah lesen dibawah Akta Perikanan 1985 Seksyen 8 (b) iaitu menangkap ikan kurang daripada enam batu nautika dari kawasan pantai.

“Tekong dan awak-awak dalam bot itu telah ditahan, dimana mereka telah dibawa ke Jeti APMM Labuan bersama dengan bot mereka untuk disiasat. Hasil tangkapan ikan pelbagai jenis di atas bot tersebut dianggarkan lebih kurang 500 kilogram,” katanya.

Beliau berkata lanjut, semua pengusaha bot nelayan haruslah mematuhi undang-undang dan tidak melanggar sebarang syarat yang termaktub di dalam lesen mereka.

“Semua pengusaha bot tidak patut mementingkan keuntungan semata-mata sehingga mengabaikan nasib komuniti nelayan persisir pantai khususnya di Zon A.

“Tindakan menunda pukat sedemikian boleh menjejaskan pendapatan nelayan pesisir pantai disamping merosakkan ekosistem pembiakan ikan di kawasan tersebut,” katanya.

Sebelum itu, Kapal peronda KM Bistari yang ditugaskan membuat rondaan dan pemantauan telah menahan bot berkenaan yang sedang menunda pukat dalam keadaan yang mencurigakan.

Hasil pemeriksaan mendapati terdapat enam orang kru bot nelayan termasuk tekong dalam lingkungan umur 20 hingga 45 tahun berada di atas bot tersebut.

Kesemua mereka adalah warganegara Indonesia.

Che Adnan berkata, APMM sentiasa mengambil berat atas sebarang aduan yang diterima dan sentiasa memantau aktiviti bot nelayan serta akan mengambil tindakan tegas terhadap pengusaha bot yang mengambil peluang dengan menceroboh kawasan zon menangkap ikan atau kesalahan lain yang menyalahi syarat sah lesen.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *