Eskalator yang dipasang di premis perlu diselenggara mengikut jadual – JKKP

Gambar: Jinurah (duduk kanan) dan Subramaniam (duduk kiri) kelihatan bersama dengan pegawai JKKPWPL dan pihak pengurusan Financial Park menunjukkan tanda keselamatan yang dilekatkan di atas lantai. 

16 Ogos 2016

LABUAN – Pemilik premis perlu memastikan setiap eskalator yang dipasang di premis mereka diselenggara mengikut jadual penyelenggaraan yang ditetapkan.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Wilayah Persekutuan Labuan (JKKPWPL), Jinurah Sintian berkata, ianya untuk memastikan eskalator sentiasa beroperasi dalam keadaan yang baik tanpa memberi kesan risiko terhadap keselamatan pengguna.

“Adalah menjadi tanggungjawab pemilik premis untuk melantik firma yang kompeten dan juga pekerja yang kompeten yang diiktiraf oleh JKKP untuk menjalankan kerja penyelenggaraan eskalator,” katanya dalam Kempen Kesedaran Keselamatan Penggunaan Eskalator Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan 2016 yang diadakan di Ujana Kewangan baru-baru ini.

Kempen tersebut dianjurkan dengan kerjasama Financial Park Labuan.

Jinurah berkata lanjut, statistik JKKPWPL menunjukkan sebanyak 30 buah eskalator telah didaftarkan dengan pihak mereka.

“Pihak kami telah menjalankan operasi pemeriksaan keselamatan pada awal tahun ini ke atas 21 buah eskalator yang masih aktif beroperasi di sini.

“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua eskalator berfungsi dengan baik dan mematuhi standard rekabentuk dan pemasangan yang ditetapkan oleh pihak JKKP termasuklah aspek keselamatan pada eskalator.

“Antara peranti keselamatan yang diperiksa dan peratusan pematuhan adalah seperti emergency stop button –100 peratus, yellow demarcation line on step –100 peratus dan skirt deflector – 76.19 peratus.

Beliau menasihati pengguna supaya lebih berhati-hati dan berwaspada semasa menggunakan eskalator dengan mengawasi anak-anak mereka dan mematuhi setiap arahan dan tatacara penggunaan yang disediakan oleh pihak berkuasa dan kompleks membeli-belah.

Beliau turut menggalakkan pemilik premis agar 
memberi peringatan kepada pengguna dari masa ke semasa.

Hadir sama dalam kempen tersebut ialah pengurus besar Financial Park Labuan, Subramaniam Muniandy.

JINURAH (lima kanan) menyerahkan tanda keselamatan eskalator kepada Subramaniam. Turut kelihatan ialah pegawai JKKPWPL dan pihak pengurusan Financial Park.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *