Enam suspek direman atas kesalahan mencuri kabel milik TM di Labuan

FOTO: ADZHAR (tengah) menunjukkan kabel tembaga milik Telekom yang dirampas. Turut kelihatan ialah pegawai polis IPD Labuan.

19 Ogos 2016

LABUAN – Enam orang suspek berumur antara 19 hingga 38 tahun telah ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam kes curi kabel bawah tanah milik Telekom Malaysia Berhad di tepi Jalan Pulau Buah.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintenden Adzhar Othman pada petang tadi berkata kepada pihak media, keenam suspek itu ditangkap dalam empat siri tangkapan, dimana kesemua suspek merupakan warganegara tempatan dan tidak mempunyai pekerjaan.

“Pada 15 Ogos lalu, pihak Telekom telah menerima aduan daripada pihak Shell Airport pada jam 9.30 pagi yang mengatakan talian telefon di pejabat Shell Airport tidak berfungsi.

“Berdasarkan aduan itu, pihak Telekom telah membuat ujian sambungan kabel dan mendapati sepanjang 80 meter kabel bawah tanah telah terputus.

“Pemeriksaan pihak Telekom seterusnya mendapati penutup kabel utama di sekitar jalan tersebut dalam keadaan yang terbuka dan kabel di dalamnya telah dipotong,” katanya dan menambah tiga jenis kabel didalam penutup tersebut turut hilang.

Adzhar berkata lanjut, anggaran nilai kerugian dalam kes tersebut ialah lebih daripada RM20,000.

“Melalui siasatan, lokasi kejadian merupakan kawasan semak di tepi jalan. Siasatan di tempat kejadian telah menemui peralatan yang digunakan untuk mencuri kabel.

“Antara alat yang ditemui ialah seperti sebatang penyeduk tanah, cangkul, sebatang pengorek tanah, sebilah parang panjang dan tiga utas tali yang mempunyai besi penyambung,” katanya.

Sementara itu, keenam suspek itu telah direman selama empat hari sehingga 20 Ogos di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah untuk disiasat.

Melalui semakan rekod kesalahan lampau, dua suspek tersebut pernah disabitkan dengan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Seorang lagi suspek pernah disabitkan dengan kesalahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Manakala, seorang suspek lain pernah disabitkan dengan kesalahan di bawah Seksyen 25(1)(A) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.

Hasil soal siasat ke atas semua suspek yang ditangkap, kesemua mereka mengaku terlibat dalam kegiatan curi kabel tembaga tersebut sejak bulan Jun yang lalu.

“Melalui soal siasat ini juga pihak kami mendapati kegiatan tersebut diketuai oleh seorang lelaki warganegara Filipina yang masih bebas dan disyaki telah melarikan diri selepas mengetahui rakannya yang lain telah diberkas oleh pihak polis.

“Dalam kes ini, pihak polis telah merampas sebanyak 23 keping resit belian tembaga daripada premis besi buruk atas nama tiga daripada suspek yang ditangkap dengan nilai jualan sebanyak RM11,113.

“Pihak polis turut merampas dua guni kabel tembaga yang sudah siap dibakar seberat 29 kilo daripada premis besi buruk berkenaan,” katanya dan menambah kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 431A Kanun Keseksaan kerana khianat dengan membencanakan kabel.

Sebuah kereta Myvi dan sebuah motorsikal Modenas Kriss milik suspek yang disyaki digunakan dalam aktiviti jenayah tersebut turut disita.

Adzhar berkata, pihak Telekom telah dipanggil untuk mengesahkan barangan kes yang dirampas, dimana pihak Telekom mengesahkan ianya milik Telekom kerana hanya pihak mereka yang menggunakan kabel seperti yang dirampas itu.

Jika sabit kesalahan suspek boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duannya sekali.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *