Labuan Fishery diarah untuk dikosongkan dan berpindah ke Tapak LKIM.

Foto: Jeti di Tapak LKIM Kiamsam Labuan. 

19 Ogos 2016

LABUAN – Labuan Fishery diarahkan untuk dikosongkan dan berpindah ke Tapak Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Kiamsam pada akhir bulan Disember ini.

Pengerusi LKIM, Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim berkata kepada pihak media, kata sepakat telah pun dicapai antara pihak LKIM, Labuan Fishery dan pengusaha ikan laut dalam untuk berpindah ke tapak LKIM tersebut.

“Setelah perbincangan yang diadakan, masalah yang selama ini timbul akhirnya selesai. Pihak LKIM akan bermesyuarat di peringkat lembaga untuk menjadikan Tapak LKIM di Labuan sebagai hab industri perikanan.

“Tempat penyimpanan sejuk (cold storage) juga akan dibina di Tapak LKIM,” katanya setelah mengadakan perbincangan dengan pihak Labuan Fishery dan pengusaha ikan laut dalam di Labuan Fishery kelmarin.

Sejumlah 10 pengusaha ikan laut dalam dan lebih 50 buah kapal berkaitan dengan aktiviti laut dalam aktif beroperasi di Labuan Fishery.

Beliau berkata lanjut, dalam satu jawatankuasa yang akan dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli, beliau (Rozman) akan berbincang dengan pihak kementerian pertanian dan industri asas tani, dan kementerian wilayah untuk membangunkan kemudahan tambatan bot di Tapak LKIM agar tiada masalah timbul pada masa hadapan.

“Labuan Fishery juga akan terlibat sama dalam usaha untuk membekalkan ikan ke Semenanjung untuk menstabilkan harga ikan khususnya di kawasan Lembah Klang terutamanya ketika musim tengkujuh dan perayaan,” katanya dan mahu Tapak LKIM menjadi mercu tanda baharu di Labuan.

Selain itu, beliau berkata, penggalakan idustri berasaskan perikanan di sini bakal mengimbangi kemerosotan industri minyak dan gas di Pulau Labuan.

Apabila ditanya berkenaan dengan industri ikan tuna di Labuan, Dr. Irmohizam berkata, Labuan perlu menarik pelabur untuk membangunkan industri tersebut.

Berkenaan dengan potensi industri perikanan di Labuan pula, beliau menjelaskan, kelebihan Labuan adalah ianya dikelilingi oleh laut dan berbanding dengan Selat Melaka, prospek industri perikanan di Labuan sangat penting.

“Sektor perikanan adalah antara penyumbang tertinggi kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan sejumlah tan metrik untuk aktiviti eksport dan import negara. Sudah tentunya industri perikanan di Labuan tidak boleh tertinggal dalam arus pembangunan sektor perikanan negara,” katanya.

Manakala, beliau berkata lanjut, sejumlah RM400,000 telah pun diluluskan untuk membiayai pembinaan boya di laut yang bakal dikendalikan oleh Jabatan Laut Malaysia.

Sementara itu, Rozman mahu Tapak LKIM seluas 20 ekar itu menjadi Bandar Nelayan serta salah satu pusat pelancongan di Labuan yang dilengkapi dengan restoran, pejabat, kuarters dan sebagainya.

“Labuan perlu mengembangkan industri perikanan di Labuan memandangkan potensinya yang tinggi. Saya berharap agar pihak LKIM terus memberi sokongan kepada usaha pembangunan ini,” katanya.

Selanjutnya beliau berkata, sejumlah RM17 juta telah diperuntukkan untuk tujuan pemindahan penduduk Kampung Rancha-Rancha Laut ke tempat yang baharu disebabkan perkampungan nelayan tersebut sudah pun tersepit oleh pembangunan minyak dan gas yang berada di sekitar kawasannya.

“Kita berterima kasih kepada kementerian pertanian dan industri asas tani, dan LKIM kerana telah memperuntukkan dana untuk tujuan perpindahan tersebut. Kita akan membangunkan sebuah kampung baharu untuk mereka iaitu kampung yang cantik lagi tersusun dilengkapi dengan pelbagai kemudahan.

“Kita sudah pun mengenal pasti beberapa tempat yang sesuai untuk pembinaan kampung tersebut. Tidak lama lagi mesyuarat akan diadakan untuk menentukan lokasi yang paling sesuai untuk pembinaan kampung itu,” katanya.

Dalam lawatan ke Tapak LKIM, Dr. Irmohizam berdialog dengan ahli Persatuan Nelayan Labuan sebelum menyerahkan bantuan kepada empat penerima bantuan sejumlah RM15,000 dibawah Skim Bencana Alam dan Kebajikan Nelayan, dan Skim Perlindungan.

DSC_0021
DR. IRMOHIZAM (dua kiri) menyerahkan bantuan kepada salah seorang penerima. Turut kelihatan ialah Rozman (kiri).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *