Tiga motorsikal yang dicuri di Labuan ditemui semula

FOTO: ADZHAR (kanan) menunjukkan tiga motorsikal yang dicuri itu. Turut kelihatan ialah pegawai polis IPD Labuan.

20 Ogos 2016

LABUAN – Pihak polis berjaya mendapatkan semula tiga buah motorsikal yang dicuri di sekitar pulau ini dalam minggu ini.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintenden Adzhar Othman berkata kelmarin, salah satu motorsikal tersebut dicuri di tempat letak motorsikal, Ujana Kewangan pada 11 Ogos yang lalu.

“Pemilik motorsikal tersebut telah membuat aduan kepada pihak polis pada hari yang sama setelah menyedari motorsikal miliknya pada jam 1.30 petang iaitu Yamaha 135LC ES yang dalam keadaan kunci tertinggal di motorsikal telah hilang.

“Mangsa cuba mencari motorsikalnya yang bernilai sekitar RM9,800 itu di sekitar kawasan tersebut tetapi gagal.

“Hasil siasatan melalui rakaman CCTV mendapati seorang lelaki yang menaiki motorsikal Modenas dan memakai topi keledar telah meletakkan motorsikalnya di sebelah motorsikal mangsa sebelum membawa lari motorsikal mangsa,” katanya.

Adzhar berkata lanjut, pada hari yang sama iaitu jam 7.30 malam, seorang lelaki tempatan berumur 34 tahun dan tidak mempunyai pekerjaan telah ditangkap di kawasan Utama Jaya kerana disyaki terlibat dengan kes curi motorsikal tersebut.

Siasatan lanjut ke atas motorsikal yang digunakan oleh suspek semasa mencuri telah berjaya menyelesaikan satu lagi kes curi motorsikal sebelum itu yang berlaku di tepi bangunan Pool House Labuan.

“Pendedahan suspek mendakwa motorsikal tersebut dibeli dari seorang kawan yang masih bebas dan suspek tahu bahawa motorsikal tersebut adalah motorsikal curi.

“Motorsikal kedua yang dicuri sebelum itu dirampas ketika suspek berada di kawasan Utama Jaya.

“Semakan rekod kesalahan lampau ke atas suspek mendapati suspek sebelum ini tidak pernah terlibat dengan aktiviti jenayah,” katanya.

Suspek telah direman selama tujuh hari di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi kes pertama sehingga 18 Ogos yang lalu dan ditangkap semula bersabit kes kedua iaitu motorsikal pertama yang dicuri untuk membantu siasatan polis.

Sementara itu, motorsikal ketiga iaitu motorsikal jenis Kawasaki yang dianggarkan bernilai RM8,000 dilaporkan hilang di Taman Mutiara pada 1 Ogos yang lalu.

Adzhar berkata, pemilik motorsikal tersebut menyedari motorsikalnya hilang pada jam 6.30 pagi, dimana mangsa cuba mencari motorsikal itu di sekitar kawasan Taman Mutiara, tetapi gagal.

“Pada 13 Ogos lalu iaitu jam 10.45 pagi semasa anggota polis trafik membuat sekatan jalan raya di Jalan Sungai Bedaun, seorang lelaki tempatan yang menunggang motorsikal Kawasaki berumur 38 tahun ditahan.

“Nombor pendaftaran motorsikal tersebut telah ditukar. Hasil semakan rekod kesalahan lampau, lelaki tersebut pernah terlibat dengan kesalahan jenayah di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana menerima harta curi dan pernah disabit kesalahan di bawah Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah.

“Suspek telah direman selama tujuh hari di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur jenayah yang berakhir pada 19 Ogos lalu,” katanya.

Hasil soal siasat ke atas suspek mendapati suspek telah membeli motorsikal tersebut dari seorang kawan yang masih bebas dengan harga RM300.

Menurut Adzhar, suspek tahu bahawa motorsikal tersebut adalah motorsikal curi kerana tiada geran dan cukai jalan.

“Usaha mengesan suspek yang bebas itu masih giat dijalankan,” katanya.

Ketiga kes curi motorsikal tersebut disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *