Sepuluh nelayan tempatan diselamatkan di Labuan

FOTO: PIHAK polis marin mengangkat salah seorang mangsa ke dalam bot ketika operasi mencari dan menyelamat. 

22 Ogos 2016

LABUAN – Sejumlah 10 kru bot nelayan berjaya diselamatkan dalam kejadian bot karam yang berlaku akibat cuaca buruk pada pagi ini.

Pengarah Maritim Daerah Labuan, Kapten Maritim Che Adnan Md. Isa berkata, bilik operasi maritim Labuan menerima laporan kecemasan tersebut pada jam 10.30 pagi.

“Kejadian tersebut berlaku kira-kira 1.5 batu nautika dari Pantai Batu Manikar Labuan, dimana bot jenis fiber yang dinaiki oleh nelayan tersebut dimasuki air sebelum karam.

“Operasi mencari dan menyelamatkan dilancarkan sebaik menerima laporan tersebut bersama dengan pihak polis marin Labuan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia Labuan dan nelayan tempatan.

“Kesemua mangsa yang berumur dalam lingkungan 22 hingga 63 tahun itu berjaya ditemui dan dibawa oleh bot nelayan dan bot polis marin ke pantai yang berhampiran,” katanya.

Menurut salah seorang mangsa, mereka sebenarnya dalam perjalanan pulang ke Labuan setelah keluar ke laut pada jam 7 pagi.

Dalam perjalanan balik itu, tiba-tiba bot mereka dipukul ombak besar sebelum tenggelam.

Che Adnan menjelaskan, keadaan cuaca buruk tersebut adalah kesan daripada taufan Mindulle yang dijangka melanda negara Jepun pada saat ini.

2016-08-22-PHOTO-00000161
MANGSA lain yang diselamatkan dalam operasi mencari dan menyelamat tersebut.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *