Sejumlah 133 pelajar sekolah bakal bermalam di Muzium Marin Labuan

25 Ogos 2016

LABUAN – Jabatan Muzium Wilayah Persekutuan Labuan bakal menganjurkan sebuah program iaitu Program Perdana Bermalam di Muzium Marin, Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan pada 30 hingga 31 Ogos ini.

Pegawai Pelancongan Pusat Penerangan Pelancongan Labuan, Nor Hidayah Mohd Nor berkata, program tersebut bakal mencipta nama dalam Malaysia Book Of Records menerusi aktiviti pendidikan paling ramai bermalam di muzium.

“Program julung kali ini akan melibatkan 22 buah muzium dibawah Jabatan Muzium Malaysia di seluruh negara dengan jumlah peserta dianggarkan seramai 1,500 orang.

“Program Bermalam di Muzium ini telah dipelopori oleh Muzium Negara sejak tahun 2005 bersempena sambutan bulan kemerdekaan negara.

“Program pendidikan seperti ini dilihat bukan sahaja untuk mendekatkan muzium dengan masyarakat malah menarik minat masyarakat terutamanya generasi muda dalam usaha memupuk semangat patriotik dan cintakan negara,” katanya.

Nor Hidayah berkata lanjut, sambutan yang menggalakkan dari peserta membolehkan ia dijadikan sebagai acara wajib Muzium Negara pada setiap tahun.

Muzium di Wilayah Persekutuan Labuan iaitu Muzium Labuan, Muzium Marin Labuan dan Muzium Chimney bergabung tenaga untuk menjayakan penganjuran program ini dengan penglibatan seramai 113 pelajar sekolah menengah yang berumur antara 14 hingga 17 tahun.

Antara aktiviti yang akan dijalankan dalam program tersebut ialah seperti sesi ceramah, latihan dalam kumpulan, persembahan gerak gempur dan kawad kaki daripada Tentera Darat Kem Brooke Labuan serta explorace muzium.

Pihak penganjur juga berharap program ini bukan sahaja mampu untuk mendekatkan muzium dengan komuniti tetapi dapat memberikan sedikit sebanyak nilai murni kepada peserta yang menyertai program ini.

Sebarang pertanyaan mengenai program tersebut boleh berhubung dengan Salmiahwati Djafar pada talian 014-5647698 atau 087-414135 dan emel: salmiahwatidj@jmm.gov.my.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *