PAS Labuan membantah keras program yang meruntuhkan akhlak dan moral masyarakat

26 Ogos 2016

hamir zahari

LABUAN – Parti Islam Semalaysia (PAS) Labuan menyatakan bantahan mereka terhadap sebarang program yang dianjurkan di sini yang boleh menyentuh sensitiviti masyarakat di Pulau Labuan.

Yang Dipertua PAS Labuan, Hj. Hamir Hj. Zahari (gambar) berkata kepada pihak media kelmarin berkenaan dengan isu pengambaran Miss Chinese Cosmos Pageant Southeast Asia 2016 yang telah diadakan pada 25 hingga 27 Julai yang lalu di sini.

“PAS membantah berdasarkan dalil Al-Quran dan Hadis. Dalam Surah Al-Anfal ayat 25, Allah telah berfirman: ‘Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksaNya’.

“Sementara dalam hadis Riyawat Muslim (no. 49) pula Rasulullah s.a.w ada menyebutkan ‘Siapa yang melihat kemungkaran maka ubahlah dengan tangannya, jika tidak mampu maka ubahlah dengan lisannya, jika tidak mampu maka (tolaklah) dengan hatinya dan hal tersebut adalah
selemah-lemahnya iman’.

“Kita dikejutkan dengan isu ini dan atas alasan apa program ini dibuat?” soal Hamir.

Beliau berkata lanjut, apakah program tersebut telah mendapat persetujuan pihak berwajib agama seperti Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Labuan dan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Labuan sebelum ianya dilaksanakan.

“PAS Labuan mengingatkan agar pihak penganjur jangan anggap institusi agama sebagai tunggul hangus – tidak dirujuk dan diminta pandangan mereka.

“PAS Labuan turut merasa dukacita dengan pembabitan kelab motorsikal berkuasa tinggi di sini yang sanggup diperalatkan untuk mempromosikan program terlarang ini.

“Mengikut tinjauan kami, 90 peratus kelab tersebut dianggotai oleh individu yang beragama Islam. Gara-gara ratu cantik, mereka sanggup bersungguh meluangkan masa dan terlibat mempromosikan program terlarang ini,” katanya.

Hamir menyoal lanjut kepada mereka – kenapa begitu mudah mereka terlibat sama sedangkan program itu jelas menjatuhkan maruah dan moral.

“Jangan salahkan masyarakat jika kelab tersebut nanti dianggap tidak mempunyai nilai moral dan hanya suka berfoya-foya.

“PAS Labuan mengingatkan semua yang terlibat bahawa tidak ada agama mana pun di dunia ini yang menyuruh atau membenarkan program maksiat seperti itu dilakukan oleh penganut mereka.

“Prgram ini hanyalah idea dan rekaan manusia yang lemah minda, rendah moral serta jahil tentang tuntutan agama,” katanya dan menambah pihak PAS Labuan merasa sangat kesal dan dukacita dengan program seumpama itu.

Sementara itu, beliau mempersoalkan adakah atas sebab hendak menjana ekonomi Labuan, perkara yang dilarang Allah boleh dilangkau begitu sahaja.

“Apakah sudah tidak ada sumber atau formula lain bagi mempromosikan ekonomi Labuan? Dimana perginya ketinggian pemikiran serta akhlak dan tamadun manusia dizaman moden ini?

“PAS Labuan sangat serius mengingatkan pihak bertanggungjawab agar berhenti dari mengadakan dan menganjurkan program maksiat atau yang seumpama ini pada masa akan datang.

“Ini kerana ianya pasti menyumbang kepada keruntuhan akhlak rakyat Labuan. PAS Labuan yakin masih ada banyak cara atau promosi lain bagi merancakkan ekonomi dan sektor pelancongan di sini tanpa perlu melanggar perintah Allah,” katanya.

Hamir menjelaskan bahawa Allah menetapkan peraturan dan hukum itu adalah untuk keharmonian, kejayaan dan keberkatan hidup seluruh umat manusia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *