Dua bot dan 13 orang nelayan ditahan

FOTO: KELIHATAN bot nelayan menghampiri kawasan pelantar minyak untuk aktiviti memancing.

29 Ogos 2016

LABUAN – Dua bot nelayan telah ditahan oleh pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim Labuan pada Sabtu lalu di perairan Pelantar Deep Sea Metro 1.

Pengarah Maritim Daerah Labuan, Kapten Maritim Che Adnan Md. Isa berkata pada hari ini, kedua bot itu yang berada lebih kurang 52 batu nautika pada barat laut Labuan ditahan sekitar jam 2 petang atau lebih.

“Bilik Operasi Maritim Labuan telah menerima aduan dari pihak Pelantar Deep Sea Metro 1 berkenaan dengan nelayan yang memancing berhampiran dengan pelantar tersebut pada Jumaat lalu.

“Kapal peronda KM Bistari ditugaskan untuk membuat rondaan dan pemantauan ke lokasi berkenaan pada awal keesokan harinya dan telah memeriksa kedua bot itu.

“Hasil pemeriksaan mendapati, salah sebuah bot nelayan terbabit disyaki melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 / 60 kerana beroperasi menggunakan lesen tamat tempoh dan gagal mengemukakan surat pertukaran nakhoda,” katanya.

Che Adnan berkata lanjut, semasa pemeriksaan dibuat, pihak mereka juga mendapati, kesemua 13 orang nelayan dari kedua bot itu gagal mempamerkan dokumen pengenalan diri yang sah dan disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

“Kedua bot tersebut kemudiannya ditahan dan diiringi ke Jeti APMM Labuan untuk siasatan lanjut.

“Aktiviti yang dilakukan di kawasan berhampiran dengan pelantar sangat berisiko tinggi dan boleh mengundang kemusnahan serta kehilangan nyawa jika berlaku sesuatu yang tidak diingini,” katanya.

Che Adnan menjelaskan adalah dibimbangi jika terdapat saluran yang mengeluarkan gas lebihan dan peralatan bawah air yang tidak disedari oleh nelayan tersebut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *