Sebanyak 9,940 pemeriksaan dan 428 tangkapan direkodkan sejak APMM Labuan ditubuhkan

FOTO: YUNUS (depan dua kiri) memulakan acara tarik tali antara pihak APMM Labuan dengan penduduk kampung.

30 Ogos 2016

LABUAN – Sebanyak 394 tangkapan dan 8,864 pemeriksaan ke atas kesalahan maritim di perairan Labuan telah direkodkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Labuan dari tahun 2006 hingga 2015.

Pengarah Maritim Daerah Kota Kinabalu, Laksamana Pertama Maritim Adam Hj Aziz berkata, bagi tahun ini pula iaitu dari bulan Januari hingga Ogos, APMM Labuan telah mencatatkan sebanyak 1,076 pemeriksaan dan 34 tangkapan.

”Jumlah statistik menunjukkan sebanyak 9,940 pemeriksaan dan 428 tangkapan telah dilakukan sejak awal penubuhan APMM di Labuan sehingga ke hari ini.

”Bagi pencapaian operasi mencari dan menyelamat, APMM Labuan telah melaksanakan sebanyak 13 misi ’Op Carilamat’ sepanjang tahun ini dari bulan Januari sehingga Ogos.

Sebahagian besar dari mangsa yang terlibat dalam kecemasan adalah dari golongan nelayan yang berasal dari Wilayah Persekutuan Labuan sendiri,” katanya dalam ucapan beliau sempena Program Sahabat Maritim yang diadakan di Kampung Tanjung Aru pada Ahad lalu.

Program tersebut diadakan untuk menanam kesedaran mengenai keselamatan di laut dikalangan penduduk dan nelayan di kampung tersebut.

Hadir sama dalam program itu yang bermula seawal jam 8 pagi ialah Senator Datuk Yunus Kurus.

Adam berkata lanjut Program Sahabat Maritim itu juga merupakan program kerjasama strategik dalam melaksanakan tanggungjawab sosial terhadap masyarakat khususnya komuniti maritim yang merupakan sasaran dan menjadi fokus utama agensi ini.

“Program ini dianjurkan bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim di antara warga agensi dengan masyarakat komuniti maritim serta mendapatkan kerjasama daripada pihak komuniti maritim yang juga berfungsi sebagai mata dan telinga kepada agensi ini,” katanya.

Antara aktiviti yang diadakan dalam program itu ialah seperti membaik pulih dan mengecat balairaya dan membaik pulih gelanggang futsal termasuk pagar sekeliling gelanggang, dimana keseluruhan program ini menelan belanja sebanyak RM 15,000.

Aktiviti ini dilakukan secara bergotong-royong melibatkan anggota APMM Labuan, penduduk kampung dan dibantu oleh pelajar Kolej Matrikulasi Labuan.

Kementerian kesihatan turut menjalankan pemeriksaan kesihatan dan kempen menderma darah dalam program tersebut.

Turut terlibat dalam program itu dengan membuat pameran ialah
Jabatan Bomba Dan Penyelamat Labuan, Jabatan Pertahanan Awam Labuan, Agensi Antidadah Kebangsaan Labuan, Pusat Koreksional Labuan dan Majlis Anti Pemerdagangan Orang (MAPO) Putrajaya.

Dalam program itu, seramai 15 ibu tunggal dan golongan asnaf lain di kampung itu telah menerima sumbangan.

Sumbangan lain dalam program sehari itu ialah 30 jaket keselamatan diberikan kepada Persatuan Nelayan Kampung Tanjung Aru dan sumbangan bola futsal kepada warga belia kampung tersebut.

Hadir sama dalam program itu ialah Pengarah APMM Labuan, Kapten Maritim Che Adnan Md Isa, ketua kampung Tanjung Aru, Hj Harun Ag. Damit dan wakil ketua jabatan kerajaan tempatan.

2
YUNUS (tengah) menyampaikan bantuan kepada warga emas di kampung tersebut. Turut kelihatan ialah Adam (kiri) dan Che Adnan (kanan).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *