PAS Labuan ziarah pesakit di Hospital Labuan sempena Hari Kebangsaan

FOTO: AHLI jawatankuasa PAS Labuan yang diketuai oleh Hj. Hamir (dua kanan pada barisan lelaki) bertemu dengan wakil pihak Hospital Labuan sebelum menziarahi pesakit di dalam wad.

2 September 2016

LABUAN – Ahli jawatankuasa PAS Labuan telah mengadakan program ziarah ke Hospital Labuan pada 31 Ogos lalu untuk mengongsikan rasa kemerdekaan kepada pesakit dan juga kakitangan hospital yang bertugas pada waktu cuti umum.

Yang Dipertua PAS Labuan, Hj. Hamir Zahari berkata, dalam ziarah itu, mereka telah menyerahkan sumbangan kepada pesakit seperti buah-buahan dan buku doa kesembuhan penyakit.

“Kami telah bertemu dengan pesakit jantung berusia 10 tahun dan seorang bayi yang kini sedang menunggu giliran untuk membuat pembedahan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) serta pesakit barah tahap empat.

“Tidak kurang juga pesakit yang sedang koma dan baharu bangkit atau tersedar dari koma. Sesungguhnya ziarah ini benar-benar menginsafkan bagi semua yang hadir,” katanya.

Ziarah tersebut yang bermula pada jam 2 petang disertai oleh beberapa barisan kepimpinan tertinggi PAS Labuan termasuk ahli jawatankuasa Dewan Muslimat dan ahli lajnah kebajikan dan kemasyarakatan PAS Labuan.

Menurut Hj. Hamir, ketibaan rombongan PAS Labuan telah diterima baik oleh kakitangan hospital yang bertugas, dimana ketua urusan ulama harian PAS Labuan, Al-Fadhil Ustaz Ahmad Junid Mohd Aling yang juga seorang perawat Darussyifa’ Labuan telah diminta untuk membacakan doa kepada seorang pesakit yang sedang nazak.

Beliau berkata lanjut, misi ziarah yang anjurkan oleh lajnah kebajikan dan kemasyarakatan PAS Labuan itu merupakan kesinambungan ziarah yang diadakan pada bulan Ramadan lalu.

Dalam lawatan itu, Hj. Hamir merakamkan jutaan terima kasih kepada pihak hospital.

Manakala, bagi pihak hospital yang diwakili oleh Matron Norhynee turut merakamkan rasa gembira atas ziarah tersebut.

Ziarah tersebut ditutup dengan pemberian buah tangan kepada kakitangan hospital yang bertugas dan juga sesi fotografi untuk kenangan.

2016-09-02-PHOTO-00000073 copy
AHLI Dewan Muslimat menyampaikan buah tangan kepada staf yang bertugas pada cuti umum.
2016-09-02-PHOTO-00000083
USTAZ Ahmad Junid (berdiri kiri) membacakan doa kepada pesakit.
2016-09-02-PHOTO-00000082
AHLI Dewan Muslimat menyampaikan sumbangan kepada pesakit.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *