Empat buah van Pos Malaysia Labuan dipecahkan cermin

13 September 2016

LABUAN – Empat buah van milik Pos Malaysia Berhad cawangan Labuan telah dipecahkan cermin pada bahagian belakang kenderaan tersebut.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintenden Adzhar Othman berkata kepada pihak media pada hari ini, kejadian tersebut berlaku di kawasan tempat letak kenderaan di hadapan pejabat pos lama, Jalan Merdeka.

“Pada Ahad lalu lebih kurang jam 7 pagi, ketua zon pos Labuan telah mendapati empat buah van jenis Toyota Hiace itu telah dipecahkan sebelum membuat aduan kepada pihak polis.

“Hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati keempat van itu diletakkan bersama dengan tiga lagi buah van yang lain. Namun, hanya empat van tersebut yang dipecahkan cermin.

“Tiada barangan lain yang hilang. Siasatan lanjut telah menjumpai empat ketul batu berhampiran van tersebut yang dipercayai digunakan oleh suspek untuk memecahkan cermin van terbabit,” katanya.

Anggaran kerugian dalam kes tersebut ialah sekitar RM7,200.

Tiada kamera CCTV pada lokasi kejadian dan tiada pengawal keselamatan yang bertugas untuk menjaga kawasan tersebut.

Adzhar berkata lanjut, kes khianat itu dilakukan antara 10 hingga 11 September.

“Kes ini masih lagi disiasat dibawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya, dan menjelaskan belum lagi ada sebarang butiran suspek yang diperolehi untuk kes tersebut.

Pihak polis memohon kerjasama daripada orang awam untuk menyalurkan sebarang maklumat berkenaan dengan kes tersebut.

2016-09-13-photo-00000311

1dirham-228x228


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *