Tiada ruang bagi Parti Pribumi Bersatu Malaysia di Labuan – Rozman

FOTO: ROZMAN (lima kiri), Bashir (empat kiri), Alias (lima kanan) dan Khalid (empat kanan) kelihatan bersama dengan ahli Umno dalam Majlis Hari Raya Aidil Adha di Kampung Sungai Lada.

13 September 2016

LABUAN – Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli percaya akan perpaduan dikalangan ahli Umno serta sokongan rakyat Labuan terhadap parti tersebut untuk menghadapi sebarang cabaran politik terkini di Pulau Bebas Cukai ini.

Ketika ditemui kelmarin untuk mengulas berkenaan dengan sebarang kemungkinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) akan ditubuhkan di Labuan, beliau berkata, tiada ruang untuk parti tersebut berdasarkan kekuatan Umno di sini.

“Saya menyeru agar semua rakyat di sini tidak terpengaruh dengan agenda PPBM. Ini kerana agenda parti tersebut lebih kepada perjuangan sendiri.

“Semua yang dia (merujuk kepada pimpinan tertinggi PPBM) cakap dahulu tidak akan buat, kini, dia sendiri yang melakukannya,” kata Rozman yang juga merupakan ketua bahagian Umno Labuan.

PPBM didaftarkan pada bulan lalu, dimana pengerusi parti tersebut ialah bekas perdana menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Manakala, presiden parti itu ialah bekas timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Rozman berkata lanjut, beliau akan memastikan bahawa Umno Labuan akan terus bersatu demi keuntungan Labuan dan menyatakan sokongan penuh terhadap kepimpinan perdana menteri dan timbalan perdana menteri.

“Kita mahukan kestabilan politik di negara kita kerana ianya penting untuk menghadapi cabaran ekonomi yang tidak menentu pada saat ini.

“Kestabilan politik juga adalah kekuatan kita selama ini. Kita kena terus ingatkan diri dan rakan lain bahawa dalam perjuangan perlukan pengorbanan.

“Perjuangan tanpa pengorbanan hasilnya ialah dengan menubuhkan parti baru,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pihak mereka tengah mengumpul input dari pelbagai sektor berkenaan dengan cadangan yang bakal mereka hantar kepada pihak kastam sebelum pelaksaan peraturan baru kastam terhadap kereta bebas cukai dan kedai menjual barangan bebas cukai di Labuan.

Beliau ditemui setelah melaksanakan ibadah korban sempena Hari Raya Aidil Adha di Masjid Sungai Lada bersama dengan timbalan ketua Umno bahagian Labuan merangkap pengerusi Majlis Penasihat Perbadanan Labuan, Datuk Bashir Alias, ahli Majlis Penasihat Perbadanan Labuan, Khalid Ghani, ketua kampung Sungai Lada, Hj. Alias Mohamad dan penduduk kampung tersebut.

1dirham-228x228


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *