Penemuan mayat wanita di Sungai Lada diklasifikasikan sebagai kes bunuh

17 September 2016

LABUAN – Pihak polis kini giat mengumpul risikan dan maklumat dalam siasatan mereka ke atas kes penemuan mayat wanita yang sudah mereput di kawasan tangki air, Kampung Sungai Lada pada 12 September lalu.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Adzhar Othman (gambar) berkata kelmarin, siasatan dijalankan secara menyeluruh bagi mengesan suspek yang dipercayai lelaki dan teman lelaki kepada si mati.

adzhar othman“Kes ini diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh dan siasatan kini dijalankan dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Hasil bedah siasat yang dijalankan pada 15 September oleh pakar patologi di Unit Patologi dan Forensik, Hospital Queen Elizabeth telah mendapati belakang tempurung kepala mayat terdapat kesan tetakan benda tajam dan retakan.

“Tulang dagu si mati juga terdapat kesan tetakan benda tajam dan retakan, dimana tulang dagu mayat pada bahagian bawah tidak dijumpai,” katanya.

Salah satu tulang pada bahagian pergelangan tangan kiri mayat perempuan itu juga terdapat kesan tetakan benda tajam dan retakan.

Hasil bedah siasat itu juga mendapati jangka masa kematian mayat yang ditemui itu ialah dalam tempoh dua ke empat minggu.

Menurut Adzhar, mayat perempuan itu dipercayai seorang warganegara Filipina dan bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) di salah sebuah pusat hiburan di Labuan.

“Maklumat awal identiti mayat tersebut dikenal pasti berdasarkan saksi dan rakan mangsa iaitu melalui proses pengecaman awal melalui pakaian dan barang yang dipakai oleh si mati di tempat kejadian.

“Cemburu dipercayai sebagai motif utama dalam kes pembunuhan ini.

“Pihak polis turut menjumpai anting-anting dan juga beberapa helaian rambut ditempat kejadian,” katanya, dimana pasukan forensik polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah turut membantu menjalankan pemeriksaan teliti di tempat penemuan mayat tersebut.

Adzhar berkata lanjut, setakat ini terdapat satu pihak keluarga di Filipina yang menuntut bahawa mayat perempuan itu ialah ahli keluarga mereka.

“Pihak polis akan berhubung lanjut dengan pihak keluarga tersebut melalui wakil kedutaan Filipina di Labuan untuk membuat perbandingan dan ujian DNA bagi mengesahkan waris atau identiti si mati.

“Ini merupakan kes bunuh yang kedua pada tahun ini di Labuan,” kata Adzhar.

Kes ini disiasat oleh Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Labuan.

1dirham-228x228

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *