Explorasi dedahkan peserta terhadap Tapak Pemuliharaan Paya Bakau Sungai Kinabenuwa

25 September 2016

LABUAN – Sejumlah 68 orang telah menyertai Explorasi Sungai Kinabenuwa yang diadakan di Tapak Pemuliharaan Paya Bakau, Sungai Kinabenuwa kelmarin.

Pengarah Jabatan Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian Perbadanan Labuan, Mahathir Abdul Hamid berkata, program tersebut bertujuan untuk memperkenalkan aktiviti sukan berkayak berkonsepkan eko-pelancongan.

“Program ini berfungsi untuk memperkenalkan kepada masyarakat umum berkenaan dengan kewujudan tapak pemuliharaan paya bakau yang boleh dijadikan tempat beriadah dan pusat ilmu berkaitan habitat yang hidup di kawasan paya bakau.

“Selain itu, program ini juga boleh menerapkan kefahaman serta kesedaran mengenai kepentingan menjaga dan menghargai eko-sistem semulajadi dikalangan peserta.

“Saya percaya, ramai dikalangan kita kurang peka terhadap kewujudan kawasan tapak pemuliharaan paya bakau ini di Labuan,” katanya.

Beliau berharap, selepas ini akan semakin ramai masyarakat yang peka dan sedar akan kepentingan kewujudan pusat pemuliharaan paya bakau yang boleh dijadikan sebagai salah satu tarikan pelancong di negeri ini.

Mahathir berkata lanjut, di sesetengah negeri di negara ini menjadikan paya bakau sebagai salah satu tempat penginapan untuk menarik kehadiran pelancong untuk berkunjung.

Sebagai contoh, di Sungai Petani, Kedah terdapat satu kawasan paya bakau Lagoon Chalet yang terletak di Kampung Penghulu Him yang dijadikan chalet yang menawarkan penginapan indah untuk pelancong dari dalam dan luar negara.

“Pihak kerajaan turut membina sebuah muzium hutan simpan paya bakau di Sungai Merbok, Kedah atau dikenali sebagai Kompleks Pelancongan Hutan Paya Bakau Sungai Merbok.

“Ianya menyediakan habitat untuk pelbagai spesis burung yang jarang ditemui dan lebih 30 spesis pokok bakau dipelihara di kawasan tersebut.

“Di Labuan juga tidak mustahil jika hutan paya bakau menjadi tarikan utama pelancong luar dan dalam negara pada suatu hari nanti memandangkan Labuan kini sudah mulai dikunjungi pelancong dari China dan negara lain,” katanya.

Dalam explorasi tersebut yang dianjurkan oleh Persatuan Kanu Labuan, peserta berkayak di sepanjang kawasan tapak pemuliharaan paya bakau Sungai Kinabenuwa.

Hadir sama ialah pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC), Labuan, Vinson Embaran dan timbalan presiden Persatuan Kanu Labuan, Madzan Yunus.

2016-09-24-photo-00000707-copy-2
MAHATHIR (kanan) menyampaikan hadiah kepada peserta.

One thought on “Explorasi dedahkan peserta terhadap Tapak Pemuliharaan Paya Bakau Sungai Kinabenuwa

  • September 25, 2016 at 8:19 pm
    Permalink

    Good job…cuma tinggal lagi sudah byk kawasan paya bakau di zon ini di tebusguna atas nama pembangunan industri Minyak dan Gas… Konservasi bakal gagal jika PBT tidak memantau dan tingkatkan usaha.

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *