Suspek kes pembunuhan wanita di Sungai Lada telah ditangkap

FOTO: SUSPEK yang terlibat dalam kes bunuh Nerisa ditahan dalam lokap polis sementara menunggu dibicarakan di mahkamah. 

26 September 2016

LABUAN – Suspek terhadap kes pembunuhan wanita warganegara Filipina yang ditemui mereput dalam belukar di Kampung Sungai Lada pada 12 September lalu telah pun ditangkap oleh pihak polis.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintenden Adzhar Othman berkata kepada pihak media pada pagi tadi, lima suspek lelaki dan seorang suspek wanita telah ditangkap secara berasingan.

“Tiga dari enam suspek itu didapati terlibat dengan kes pembunuhan ini. Sementara, tiga lagi suspek lain termasuk seorang wanita itu tidak terlibat.

“Ketiga suspek yang terlibat itu merupakan warganegara Filipina, dimana dua suspek berumur 22 tahun dan yang seorang lagi berumur 35 tahun,” katanya.

Salah seorang dari ketiga suspek itu mempunyai kad pengenalan berwarna merah dan dua suspek yang lain tidak mempunyai dokumen diri.

Menurut Adzhar, suspek pertama telah ditangkap pada 21 September lalu, jam 6 petang di hadapan rumahnya di Simpang Dedap, Kampung Sungai Bedaun.

Manakala, suspek kedua pula ditangkap selang sehari selepas suspek pertama ditangkap iaitu pada jam 2.45 petang di Layang-Layangan.

Suspek kedua itu ditangkap berikutan pendedahan daripada suspek pertama.

Ketiga suspek bekerja sebagai buruh binaan dan tidak mempunyai rekod kesalahan jenayah (kecuali suspek kedua yang pernah disabitkan kesalahan dibawah Seksyen 6 (1) Akta Imigresen 1963) serta negatif ujian air kencing.

2-copy
Nerisa.

Adzhar berkata lanjut, identiti mangsa iaitu wanita yang mati dibunuh itu telah dikenalpasti sebagai Nerisa Liwanag Abelilla berumur 25 tahun dan berasal dari Barangay Lumutan Atimonan, Quezon City, Filipina.

Mangsa terbabit mula bekerja sebagai pelayan pelanggan di salah sebuah pusat hiburan di sini sejak awal tahun ini.

“Hasil siasatan mendapati, si mati enggan melakukan hubungan seks dengan suspek pertama sehingga menyebabkan suspek pertama bertindak membunuh wanita terbabit.

“Tarikh kematian mangsa dianggarkan sekitar 15 hingga 16 Ogos lalu. Pihak polis telah menjumpai sebatang kayu patah di sekitar kawasan tepi jalan tempat kejadian.

“Pihak polis juga percaya wanita itu turut dipukul dengan menggunakan sebatang besi paip,” katanya.

Adzhar mendedahkan, dua telefon bimbit model Nokia dan Samsung milik si mati yang hilang telah ditemui dan dirampas dari suspek pertama di dalam rumahnya.

“Pihak polis juga sedang berusaha untuk mencari barangan milik si mati seperti beg sandang kecil dan pakaian yang dipakai semasa kejadian yang dipercayai telah dibuang oleh kedua suspek di kawasan pantai atau bakau berdekatan dengan Taman Arena, Kerupang,” katanya.

Beliau berkata, siasatan terhadap kes ini telah pun selesai dan pihak polis mempunyai keterangan dan bukti yang kuat terhadap suspek pertama dan kedua kerana terbabit secara langsung dalam kes pembunuhan ini.

“Pihak polis sedang melengkapkan kertas siasatan dan akan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara di Kota Kinabalu untuk mendapatkan arahan selanjutnya.

“Suspek ketiga dicadangkan sebagai saksi pendakwaan, dimana kedua suspek yang terlibat secara langsung dalam kes pembunuhan ini akan dituduh dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Jika sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *