Empat pengusaha tandatangani perjanjian untuk pindah ke Kompleks LKIM, Kiamsam

FOTO: DR. IRMOHIZAM (empat kiri), M. Saedon (empat kanan) dan Dzulkifli (tiga kanan) kelihatan bersama dengan pengusaha setelah selesai majlis menandatangani tersebut.

27 September 2016

LABUAN – Sejumlah empat dari tujuh syarikat pengusaha industri perikanan di Labuan telah menandatangani perjanjian penyerahan lot tanah Kompleks Pendaratan Ikan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Kiamsam kelmarin.

Pengerusi LKIM, Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim berkata, pengusaha tersebut menandatangani penyewaan selama 20 tahun dan diberi keizinan untuk menjalankan aktiviti seperti membina prasarana syarikat masing-masing yang dibenarkan oleh LKIM di kompleks tersebut.

“Pengusaha industri perikanan yang terlibat adalah pengusaha yang beroperasi di Tapak Labuan Fisheries yang bersetuju untuk berpindah operasi ke kompleks ini menjelang hujung tahun ini,” katanya.

Antara empat syarikat yang terlibat dalam majlis itu ialah Labuan Marine Resources Sdn Bhd, Sunrise Interwork Sdn Bhd, AC Supplier dan AJG Seafood.

Beliau berkata lanjut, tiga lagi pengusaha yang tidak dapat hadir dalam majlis kelmarin akan menandatangani perjanjian itu dalam waktu yang terdekat.

Sementara itu, dalam majlis tersebut, dua penerima telah menerima Skim Bantuan Bencana Alam dan Kebajikan Nelayan berjumlah RM10,000.

Bantuan tersebut diberikan kepada nelayan yang terlibat dalam kemalangan atau bencana alam yang melibatkan kemusnahan atau kerosakan harta benda dan kehilangan nyawa bagi meringankan beban mangsa dan juga keluarga.

Manakala, Dr. Irmohizam berkata, pihak LKIM memohon kepada pihak polis agar melanjutkan tempoh pemberian permit menangkap ikan kepada nelayan di Sabah terutama di kawasan Esszone sehingga dibekalkan dengan Automatic Indentification System (AIS).

“Mulai 24 September lalu, larangan penangkapan ikan terhadap bot nelayan yang turun menangkap ikan di kawasan melebihi tiga batu nautika dalam Esszone telah dikuatkuasakan dan hendaklah mendapat permit dari pihak polis.

“Permit hanya dikeluarkan kepada bot yang mempunyai AIS. Sejumlah 7,349 nelayan di Sabah telah memohon bantuan daripada kerajaan persekutuan untuk tujuan pemasangan AIS, dimana harga seunit melebihi RM3,000.

“Saya berharap agar pihak Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia dan Jabatan Perikanan Malaysia mempercepatkan proses pemberian AIS kepada nelayan di Sabah agar sumber pencarian mereka tidak terjejas,” katanya.

Hadir sama dalam majlis menandatangani perjanjian itu ialah ketua pengarah LKIM, M. Saedon Ab Majid dan pengarah LKIM Labuan, Dzulkifli Mad Ali.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *