Lelaki berumur 41 tahun meninggal akibat kemalangan di Jalan Pohon Batu

FOTO: KERETA Proton Waja yang terlibat dalam kemalangan tersebut.

28 September 2016

LABUAN – Lelaki tempatan berumur 41 tahun maut apabila motosikal jenis Yamaha yang ditungganginya bertembung dengan kereta Proton Waja di Jalan Pohon Batu semalam pada jam 7.40 malam.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Adzhar Othman berkata kepada pihak media pada hari ini, identiti mangsa telah dikenal pasti sebagai Roslan Pungut dan tinggal di Kampung Durian Tunjung.

“Mangsa telah meninggal dunia akibat pendarahan dalaman, dimana mangsa telah dibawa ke Hospital Nukleus Labuan oleh ambulans dan disahkan meninggal dunia di hospital pada jam 8.47 malam.

“Kedua tangan mangsa pada sebelah kiri dan kanan turut patah. Sementara itu, pemandu kereta Proton Waja terbabit yang juga seorang lelaki tempatan berumur 62 tahun dan tinggal di Kampung Pantai mengalami luka pada bahagian muka dan patah tangan kanan.

“Manakala, penumpang iaitu isteri kepada pemandu kereta Proton Waja itu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dan menambah lokasi sebenar kemalangan yang berlaku itu berhadapan dengan Pusat Pengumpulan Hasil Peladang.

2016-09-28-photo-00000443-copy
MOTOSIKAL Yamaha yang rosak teruk akibat pelanggaran itu.

Beliau berkata lanjut, motosikal yang dipandu dari arah bandar menuju ke Batu Manikar itu telah terlanggar pada sisi kanan kereta Proton Waja itu ketika pemandu kereta terbabit hendak keluar dari simpang jalan.

“Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal rebah di atas permukaan jalan raya yang berhampiran dengan motosikal miliknya. Walau bagaimanapun, kedua penunggang motosikal dan pemandu kereta tidak disyaki mabuk.

“Hasil siasatan awal mendapati, kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu kereta Proton Waja yang cuai ketika hendak keluar simpang untuk membuat pusingan U untuk balik ke arah bandar.

“Namun demikian, siasatan akan diteruskan dibawah Seksyen 41 (1) (c) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Motosikal Yamaha itu mengalami kerosakan teruk pada bahagian hadapan termasuk lampu dan tayar.

Sementara itu, kereta Proton Waja terbabit hanya mengalami kerosakan pada bahagian sisi sebelah kanan.

Orang awam dinasihatkan agar berhati-hati di jalan raya untuk mengelakkan kejadian seperti ini berlaku.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *