Dua pelajar Sekolah Menengah Sains Labuan cedera dalam ujikaji sains

FOTO: ANGGOTA bomba melakukan kerja pembersihan tumpahan bahan kimia tersebut. 

29 September 2016

LABUAN – Dua pelajar tingkatan satu cedera ketika melakukan ujikaji kimia di makmal Sekolah Menengah Sains Labuan pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Wilayah Persekutuan Labuan, Jainal@Zainal Madasin berkata kepada pihak media, pihak mereka telah menerima panggilan dari sekolah tersebut mengenai kejadian itu pada jam 7.57 pagi.

“Pelajar pertama cedera pada bahagian mata dan pelajar kedua pula cedera pada bahagian tangan. Sementara itu, seorang lagi pelajar tidak mengalami kecederaan melainkan hanya mengalami gatal-gatal kulit.

“Kesemua pelajar telah dihantar ke Hospital Nukleus Labuan oleh pihak sekolah.

“Kes ini melibatkan tumpahan bahan kimia jenis merkuri dalam termometer,” katanya.

Ketika kejadian, guru sains yang mengendalikan kelas tersebut serta dibantu oleh seorang pembantu makmal berada dalam makmal sekolah itu bersama dengan 20 orang pelajar.

Kejadian tersebut dipercayai berpunca apabila termometer sebesar sebatang pen terjatuh ketika salah seorang pelajar sedang melakukan ujikaji sains.

Operasi yang diketuai oleh penguasa bomba, Mohd. Wildan Azhari itu telah melakukan operasi pembersihan sisa bahan kimia yang tertumpah sehingga selesai.

Operasi pembersihan itu tamat pada jam 10.19 pagi, dimana sejumlah 25 orang pegawai dan anggota bomba terlibat dalam operasi tersebut.

Panggilan bomba adalah prosedur sekolah dalam menangani sebarang kejadian seperti ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *