Pelajar SMK Labuan muncul juara dalam pertandingan pidato

FOTO: PEMENANG dalam pertandingan pidato dan mencipta banner anjuran UMSKAL.

5 Oktober 2016

LABUAN – Pelajar SMK Labuan, Angelin Lee Chai Sia muncul johan dalam pertandingan pidato pencegahan rasuah Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) 2016 yang telah diadakan di kampus tersebut baru-baru ini.

Seorang lagi pelajar SMK Labuan, Yazid Zahiruddin Faiz Mu’izzuddin menduduki tempat kedua. Manakala, tempat ketiga dimenangi oleh pelajar SMK Taman Perumahan Bedaun, Nurhafizah Amanina Rapezun.

Juara bagi pertandingan pidato peringkat Institut Pegajian Tinggi (IPT) ialah Muhammad Hafizi Kasim dari UMSKAL yang merupakan peserta tunggal kategori tersebut.

Sementara itu, juara bagi pertandingan mencipta banner peringkat sekolah rendah pula disandang oleh Mohd. Hakimi Faizal dari SK Layang-Layangan.

Manakala, naib juara dan tempat ketiga masing-masing dimenangi oleh murid SK Sungai Bedaun iaitu Rozzelyn Rosdi dan Syafiqah Mohd Tahir.

Program di atas dianjurkan oleh Sekretariat Pencegahan Rasuah Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (SPRUMSKAL).

Hadir dalam program tersebut ialah Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Labuan, Muhamad Hisyam Mokhtar dan Penolong Penguasa SPRM, Masrawi Saimi.

Turut hadir, ketua cawangan Sekretariat Pencegahan Rasuah Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (SPRUMSKAL), Ainal Sapri dan pengarah program, Rohani Abdul Salam.

Pertandingan Pidato Pencegahan Rasuah itu dianjurkan untuk menerapkan nilai anti rasuah dan meningkatkan kesedaran tentang bahayanya rasuah.

Manakala, pertandingan mencipta banner pula bertujuan untuk mewujudkan percambahan idea dan peningkatan ilmu dikalangan pelajar sekolah rendah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *