SK Kerupang anjur gotong-royong untuk kebersihan sekolah

FOTO: ANTARA ibu bapa dan guru yang terlibat dalam gotong-royong tersebut.

5 Oktober 2016

LABUAN – Sejumlah 32 ibu bapa telah menjayakan Program Gotong-Royong Perdana 2016 anjuran SK Kerupang di sekolah tersebut baru-baru ini.

Guru Besar SK Kerupang, Asmawi Ahmad berkata, program tahunan itu diadakan untuk menyedarkan semua pihak betapa pentingnya menjaga kebersihan di sekolah.

“Program gotong-royong ini diadakan untuk mengeratkan lagi hubungan baik yang sedia terjalin antara pihak sekolah dengan ibu bapa.

“Saya berharap, semua pihak akan bekerjasama dengan pihak sekolah didalam menjaga kebersihan untuk manfaat warga sekolah khususnya murid SK Kerupang,”katanya.

Beliau turut berharap agar amalan menjaga kebersihan kawasan sekolah menjadi amalan bagi semua pihak termasuk ibu bapa dan pelawat, selain guru dan murid SK Kerupang sendiri.

Program anjuran bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) itu turut disertai oleh 34 orang guru sekolah tersebut.

Sementara itu, Yang Dipertua PIBG, Nik Hisyam Ubaidillah Nik Hishamuddin mengucapkan terima kasih atas penglibatan guru-guru dan ibu bapa yang hadir.

Beliau berkata, komitmen yang ditunjukkan ibu bapa dan guru-guru itu akan memastikan kawasan persekitaran SK Kerupang terhindar daripada sebarang penyakit berjangkit seperti demam denggi.

Turut hadir ialah Naib Yang Dipertua PIBG, Badrul Hisham Khairuddin, penolong kanan satu, Hjh Jamilah Ag Damit, Subeby Eloi (penolong kanan hal ehwal pelajar) dan penolong kanan kokurikulum, Durasad Edrus.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *