Jabatan Pertanian serah sumbangan pertanian kepada SK Rancha-Rancha

FOTO: MARIUS (tiga kanan) menyerahkan sumbangan pertanian kepada Norrinnie. Turut kelihatan ialah guru SK Rancha-Rancha.

7 Oktober 2016

LABUAN – Kemahiran Hidup Perkebunan merupakan salah satu mata pelajaran yang perlu dipelajari oleh pelajar berkeperluan khas.

Mata pelajaran ini bukan sahaja membantu untuk menambahkan ilmu pelajar istimewa, tetapi juga sebagai satu jaminan untuk mereka meneruskan hidup berdikari apabila tamat persekolahan kelak.

Teknik serta kaedah perkebunan membolehkan insan istimewa tersebut belajar berdikari tanpa mengharapkan bantuan sepenuhnya daripada ahli keluarga dan masyarakat.

Jabatan Pertanian Wilayah Persekutuan Labuan baru-baru ini telah tampil memberikan sumbangan berupa kelengkapan pertanian untuk kebun bagi Program Pendidikan Khas Integrasi SK Rancha-Rancha.

Sebelum itu, permohonan bantuan pertanian telah diserahkan ke jabatan tersebut oleh salah seorang guru Kemahiran Hidup Perkebunan sekolah itu iaitu Nurita Juslin.

“Pihak Jabatan Pertanian Labuan tidak dapat menyalurkan bantuan kepada pihak sekolah jika tidak ada sebarang permohonan,” kata Marius Gosong iaitu pegawai Jabatan Pertanian Labuan.

Namun demikian, pihaknya amat berbesar hati kerana dapat menyumbang bantuan pertanian itu dan berharap agar kerjasama dengan pihak sekolah dapat diteruskan pada masa akan datang.

Guru Besar Sekolah Kluster Kecemerlangan (SKK) SK Rancha-Rancha, Norrinnie Kassim turut berterima kasih kepada pihak jabatan atas sumbangan tersebut.

Program Pendidikan Khas Integrasi SK Rancha-Rancha telah dibuka sejak tahun 2008.

Pada tahun 2016, murid berkeperluan khas yang mengikuti pembelajaran di kelas integrasi tersebut ialah seramai tujuh orang dengan tujuh orang guru termasuk penolong kanan pendidikan khas dan dua orang pembantu pengurusan murid.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *