PAS Labuan kesal kerana bantahan pelaksanaan sistem jaminan bank tidak dihiraukan

8 Oktober 2016

LABUAN – PAS Labuan membantah keras berkenaan dengan pelaksanaan sistem jaminan bank yang bakal dikenakan terhadap kenderaan bebas cukai yang mempunyai kapasiti enjin 2,500 cc dan ke atas.

hamir zahariYang Dipertua PAS Labuan, Hj. Hamir Zahari (gambar) berkata kepada pihak media pada hari ini, kadar jaminan bank sebanyak 50 peratus daripada nilai insurans dan pengangkutan (CIF) kepada pemilik kenderaan yang berhasrat memasuki Tanah Besar Sabah dilihat sebagai terlalu membebankan rakyat.

“Pelaksanaan sistem jaminan bank ini sudah pasti akan menambah sengsara rakyat Labuan berkenaan dengan kos sara hidup bagi mereka yang berulang-alik antara Labuan dan Sabah dengan kenderaan mereka.

“PAS berasa sangat kesal dan pelik kerana bantahan daripada pihak rakyat, badan bukan kerajaan dan parti politik sebelum ini terhadap pelaksanaan sistem jaminan bank ini tidak dipedulikan.

“Hasil tinjauan PAS mendapati bahawa pihak kastam dan kementerian kewangan tetap berkeras mahu melaksanakan sistem jaminan bank tersebut pada 1 November ini,” katanya.

Beliau berkata lanjut, PAS Labuan mendesak supaya pihak kerajaan membatalkan hasrat untuk melaksanakan sistem jaminan bank tersebut dengan serta merta.

“Isu ini jangan sesekali ditimbulkan kerana isu ini menambah beban rakyat Labuan yang sudah pun dalam keadaan susah payah didalam mengharungi kekurangan sara hidup akibat kehilangan pekerjaan akibat kejatuhan harga minyak dunia,” katanya.

PAS Labuan menegaskan bahawa ketirisan cukai berlaku kerana wujudnya kegiatan penyeludupan arak, kereta mewah dan barangan tertentu secara terancang.

“Tinjauan kami mendapati banyak kereta mewah berada di Kuala Lumpur. Tetapi, amatlah menghairankan kenapa pihak terbabit tidak disiasat? Sebagai contoh, sebuah kereta Bentley yang melanggar sebuah restoran di Damansara Kuala Lumpur pada minggu lalu.

2016-10-08-photo-00000097

“Banyak lagi kenderaan mewah yang berdaftar dengan nombor plat Labuan seperti Pocshe, Ferrari,Lamborgini dan Bently berada di Kuala Lumpur.

2016-10-08-photo-00000100

“PAS Labuan juga meminta satu badan siasatan bebas yang dianggotai oleh ‘orang bukan politik’ mesti ditubuhkan. Ianya untuk menangani isu ini secara serius dan tuntas terhadap kereta mewah yang diseludup atau dibawa keluar secara terancang dari Labuan ke Semenanjung, Sabah dan Sarawak tanpa mengira sama ada membabitkan menteri, anak menteri dan sebagainya,” kata Hj. Hamir.

PAS Labuan turut mendesak supaya badan bebas tersebut menyiasat syarikat yang menyeludup barangan bebas cukai secara haram dan secara terancang sekaligus menyelongkar ‘orang dalam’ yang terlibat dalam kegiatan haram tersebut.

Hj. Hamir berkata, pihak kerajaan dan yang terbabit wajib melaksanakan dan menyelesaikan cadangan ini atas mandat dan amanah yang telah diberikan oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 yang lalu.

“Jangan alihkan kos ketirisan pengurusan dan bebanan ekonomi negara ke atas bahu rakyat.

“Jika teguran ini masih juga tidak dihiraukan, PAS Labuan mengajak rakyat supaya menukar pemimpin dan kerajaan pada PRU 14 ini,” katanya.

One thought on “PAS Labuan kesal kerana bantahan pelaksanaan sistem jaminan bank tidak dihiraukan

  • October 9, 2016 at 9:47 am
    Permalink

    Rasanya tak begitu membebankan..sebab pemilik kereta dgn kapasiti enjin 2500cc x banyak..dan majoriti (tidak semua, tapi hampir semua) berkemampuan jika dinilai pada nilai pasaran kereta berkenaan. Semestinya kenderaan berkapasiti besar adalah kenderaan import. Dengan kapasiti 2500cc, nilainya lebih rm100,000.00 dan membuktikan kekukuhan ekonomi pemiliknya..sekian

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *