Sambutan Hari Sukan Negara di Labuan meriah dengan pelbagai aktiviti

FOTO: ANTARA tetamu kehormat yang hadir ke Sambutan Hari Sukan di Kompleks Sukan Labuan.

8 Oktober 2016

LABUAN – Lebih daripada 2,000 orang dianggarkan hadir ke Kompleks Sukan Labuan pada pagi tadi untuk turut serta dalam Sambutan Hari Sukan Negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan (PL), Azhar Ahmad dalam ucapannya berkata, objektif Hari Sukan Negara ialah untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan bersukan bagi mewujudkan masyarakat yang cergas dan aktif.

“Program ini mampu memupuk dan menyemarakkan semangat perpaduan dikalangan rakyat pelbagai kaum.

“Ianya juga menyumbang kepada peningkatan kesedaran dan penglibatan yang menyeluruh masyarakat dalam aktiviti sukan. Seterusnya, ianya dilihat sebagai teras kepada pembentukan budaya sukan dikalangan masyarakat,” katanya.

Pada tahun ini, sasaran penyertaan bagi Sambutan Hari Sukan Negara di Wilayah Persekutuan Labuan ialah seramai 18,000 orang peserta iaitu lebih kurang 20 peratus daripada penduduk pulau ini.

Sementara itu, pada tahun lepas, sasaran tersebut hanya 10 peratus daripada penduduk Labuan.

Turut hadir untuk merasmikan sambutan itu ialah Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli.

Dalam ucapan perasmiannya, beliau berkata, Sambutan Hari Sukan Negara merupakan pengiktirafan kepada penggiat, pelopor, pemimpin sukan, jurulatih, atlet dan penggerak sukan di seluruh negara.

Lebih daripada 60 aktiviti berlangsung di Kompleks Sukan Labuan pada hari ini yang melibatkan semua agensi kerajaan, pihak swasta, persatuan sukan, ahli jawatankuasa kampung, badan bukan kerajaan, pertubuhan belia, pelajar dan orang awam.

Antara aktiviti tersebut ialah seperti berbasikal, larian, orang kelainan upaya (Oku) bersama masyarakat, sukan kanak-kanak tabika perpaduan, pertandingan sepak takraw, futsal, explorace, berkayak, senam cergas, mendaki dinding, sukan rakyat, pertandingan gasing, pameran dan jualan barangan sukan dan pertunjukan seni bela diri.

Hadir sama ialah Senator Datuk Yunus Kurus, pengerusi Majlis Penasihat Perbadanan Labuan, Datuk Bashir Alias dan tetamu kehormat lain.

dsc_0008
ACARA berbasikal.
dsc_0011
ACARA larian bagi orang dewasa.
dsc_0023
ACARA larian bagi kategori kanak-kanak.
dsc_0027
SALAH seorang kanak-kanak terjatuh dalam larian tersebut.
dsc_0034
TETAMU kehormat bersama Oku dalam sambutan tersebut.
sukan-negara
ROZMAN menyorong salah seorang peserta Oku dalam aktiviti bersama Oku.
dsc_0047
BACAAN ikrar yang diketuai oleh salah seorang kanak-kanak Tabika Pepaduan.
dsc_0050
ROZMAN (depan lima kanan), Azhar (depan empat kanan) Bashir (depan tiga kiri) dan tetamu kehormat lain turut serta dalam bacaan ikrar.
dsc_0052
ROZMAN melawat peserta dikalangan kanak-kanak tabika perpaduan.
dsc_0058
ROZMAN menunjukkan bakat dalam permainan gasing.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *