PAS Labuan kesal dengan kementerian pendidikan dan pengarah KML

14 Oktober 2016

LABUAN – PAS Labuan memandang isu penarikan elaun saku bulanan pelajar oleh kementerian pendidikan sebagai satu kegagalan didalam mengurus krisis semasa.

hamir zahariYang Dipertua PAS Labuan, Hj. Hamir Zahari (gambar) berkata kepada pihak media pada hari ini, selepas berita tersebut disiarkan dalam Radio Malaysia Labuan dan media sosial sebelum ini, pengarah Kolej Matrikulasi Labuan (KML) menafikan isu penarikan elaun tersebut.

“Pihak PAS Labuan kesal dengan sikap yang tidak profesional dan tidak berintegriti tersebut. Sikap berdolak-dalik menutup isu sebenar demi menjaga reputasi jabatan dilihat sebagai tidak matang.

“Sedangkan pelajar KML dalam kepayahan dan telah menyuarakan kepada ibu bapa masing-masing berkenaan dengan penarikan elaun tersebut sejak bulan Ogos tahun ini.

“Persoalannya disini, kenapa lambat sangat memberitahu perkara yang sebenar?” soal Hj. Hamir.

Sehubungan itu beliau menggesa supaya menteri pendidikan jangan memandang sebelah mata berkenaan dengan isu ini dan mereka perlu bertindak dengan lebih prihatin dan efisien.

“PAS Labuan mencadangkan dan menggesa pihak kerajaan termasuk Ahli Parlimen Labuan dan Menteri Wilayah agar mengusahakan sesuatu serta mengeluarkan bajet kecemasan atau tambahan (contingency budget) untuk menghadapi isu tersebut.

“Ianya untuk menampung belanja makan pelajar sementara menunggu situasi kembali pulih oleh kementerian berkenaan yang lembab bertindak didalam mengatasi isu ini,” katanya.

PAS Labuan turut mencadangkan agar pihak Baitulmal bertindak sama untuk menyumbang dan membantu pelajar terbabit.

“Badan bukan kerajaan (NGO) Islam yang berada di Labuan juga diseru supaya berusaha membantu meringankan kepayahan pelajar KML terbabit.

“Kepada NGO yang telah terlibat didalam memberi bantuan kepada pelajar yang terlibat, PAS Labuan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah atas keprihatinan anda semua didalam menggalas tanggungjawab ini.

“PAS Labuan sekali lagi menegaskan bahawa kami sangat kesal dengan sikap penafian oleh pihak pengurusan KML dan kelembapan pihak kementerian didalam menangani masalah ini,” katanya.

Kekesalan Hj. Hamir dan pihak PAS Labuan itu berdasarkan hanya selepas dua bulan krisis itu berlaku, baharu semalam menteri pendidikan mengeluarkan kenyataan rasmi melalui media berkenaan isu tersebut.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *