Warga belia Labuan dipelawa mengambil bahagian dalam Program Agropreneur Muda

FOTO: BASHIR (tiga kiri), Suzana (dua kiri), Anuar Salam (dua kanan) dan tetamu jemputan lain menunjukkan satay tuna dalam majlis pelancaran tersebut. 

17 Oktober 2016

LABUAN – Warga belia Labuan yang berumur 40 tahun ke bawah dipelawa untuk turut serta dalam Program Agropreneur Muda iaitu program latihan dalam industri pemprosesan makanan berasaskan ikan tuna di sini.

Senator Datuk Yunus Kurus dalam ucapannya pada pagi tadi berkata, program tersebut bertujuan untuk melatih mereka menjadi pelapis bagi golongan yang menghasilkan makanan yang kini rata-rata berumur 60 tahun ke atas.

“Perairan Labuan mempunyai sumber tuna yang sangat banyak kerana kita mencapai pendaratan tuna secara puratanya berjumlah empat tan metrik sehari. Dari jumlah ini, hanya satu tan metrik sahaja yang digunakan oleh penduduk Labuan.

“Manakala, yang selebihnya terpaksa dihantar ke Sabah, Sarawak dan Brunei. Oleh yang demikian, ianya adalah peluang kepada warga Labuan untuk menceburi bidang pemprosesan produk makanan berasaskan tuna.

“Tambahan pula, sumber bahan mentah untuk industri itu adalah murah dan banyak. Produk makanan tuna juga mendapat sambutan luar biasa di pasaran,” katanya, dimana teks ucapannya dibacakan oleh pengerusi Majlis Penasihat Perbadanan Labuan, Datuk Bashir Alias.

Sehubungan itu, Bashir menyeru agar warga belia Labuan menggunakan sepenuhnya peluang yang disediakan oleh pihak kerajaan untuk memajukan diri dalam industri pemprosesan makanan.

“Industri ini dilihat sebagai usaha bagi mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk di sini. Apabila harga minyak dunia jatuh, Pulau Labuan adalah antara tempat yang paling terjejas akibat kejatuhan harga minyak tersebut.

“Lebih daripada 10,000 pekerja dalam sektor minyak dan gas di sini telah meninggalkan Labuan disebabkan situasi tersebut. Sejumlah restoran di sini juga hampir ditutup. Sementara, sektor pengangkutan di sini turut terjejas.

“Kita berharap agar industri pemprosesan makanan berasaskan tuna ini merupakan satu peluang yang besar kepada penduduk di sini,” katanya yang turut melancarkan Usahawan Agropreneur Muda iaitu Suzana Ahmad di Jeti Perikanan Wilayah Persekutuan Labuan.

Suzana merupakan pengusaha produk satay tuna Labuan yang pertama di negara ini.

Bashir mengucapkan tahniah kepada beliau kerana berani menceburi bidang yang penuh potensi itu serta menjadi contoh kepada belia lain untuk turut serta dalam industri tersebut.

Sementara itu, pengarah Pejabat Perikanan Labuan, Anuar Salam Sulaiman berkata, Labuan dianugerahkan hasil laut iaitu pendaratan ikan tuna yang begitu stabil sekali.

“Labuan dijangka menjadi pusat pengeluar produk ikan tuna yang besar di rantau ini. Kita rugi jika kita tidak mengambil peluang ini kerana Labuan merupakan tempat pendaratan ikan tuna.

“Pada tahun ini kita diberi peruntukan sejumlah RM700,000 untuk pembangunan industri perikanan di sini termasuklah pemasangan sejumlah sembilan unit payao di Semarang iaitu kira-kira 90 ke 120 batu nautika dari Pulau Labuan. Setiap unit payao berjumlah sekitar RM40,000.

“Peruntukan tersebut merangkumi peruntukan untuk pembangunan industri tuna di sini. Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM200,000 juga digunakan untuk Program Agropreneur Muda,” katanya.

Beliau berkata lanjut, beliau menggalakkan golongan belia di sini datang ke pejabat untuk berbincang dengan pegawai di Pejabat Perikanan Labuan mengenai peluang niaga dalam industri perikanan.

“Kita ada banyak produk yang hendak dihasilkan di sini. Tinggal lagi anak muda Labuan terjun ke dalam bidang ini.

“Kita menyediakan latihan selama enam bulan untuk Program Agropreneur Muda,” katanya.

Kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan Jabatan Perikanan Malaysia menyediakan khidmat nasihat serta bimbingan kepada usahawan yang ingin menceburi bidang pemprosesan makanan terutamanya produk berasaskan tuna di Labuan.

Hadir sama ialah pengarah Bahagian Pembangunan Latihan dan Kemajuan Kerjaya Ibu Pejabat Perikanan Malaysia, Abdul Khalil Abdul Karim.

dsc_0015
CHEF dari kiri masing-masing mewakili Hotel Billion Waterfront, Aifa, Dorsett Grand Labuan dan Tiara mencuba rasa satay tuna tersebut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *