Muzium Marin Labuan anjur pameran untuk orang ramai

18 Oktober 2016

LABUAN – Orang ramai dipelawa untuk berkunjung ke Pameran Biodiversiti Terumbu Karang yang diadakan di Muzium Marin Labuan sejak 3 Oktober lalu sehingga 31 Disember tahun ini.

Pengarah Muzium Labuan, Salmiahwati Djafar berkata, biodiversiti hidupan marin terumbu karang seperti spesies batu karang, haiwan krustasia, plankton, ikan terumbu karang, cacing dan moluska yang hidup dalam habitat terumbu karang dipamerkan dalam pameran itu.

“Terumbu karang adalah ekosistem dasar laut yang sangat penting kepada manusia dan hidupan marin.

“Kekayaan dan kepelbagaian spesies terumbu karang yang terdapat di perairan Borneo serta kesedaran betapa pentingnya biodiversiti terumbu karang terhadap ekosistem marin telah mencetuskan idea pameran ini,” katanya.

Beliau berkata lanjut, antara objektif pameran itu ialah untuk mengukuhkan peranan dan fungsi muzium dalam menyebarkan ilmu pengetahuan.

“Pameran ini secara umumnya memberi fokus kepada keindahan dan keunikan yang merangkumi anatomi terumbu karang, diet, habitat, pembiakan dan pertumbuhan terumbu karang di dasar laut.

“Kepentingan dan manfaat terumbu karang yang merangkumi sektor pelancongan, alam sekitar, sumber ekonomi kepada manusia, perubatan dan habitat marin tidak dapat dinafikan.

“Walau bagaimanapun, terumbu karang sering terdedah kepada ancaman yang serius disebabkan faktor alam semulajadi dan perbuatan manusia yang kurang kesedaran mengenai kepentingan ekosistem ini,” kata Salmiahwati.

Sehubungan itu, beliau berkata, usaha melestari terumbu karang melalui kaedah pemeliharaan dan pemuliharaan giat dijalankan demi kesejahteraan generasi akan datang.

Sementara itu, waktu lawatan ke Muzium Marin Labuan adalah dari 8.30 pagi hingga 5.00 petang.

Untuk keterangan lanjut boleh berhubung dengan Zuriani Abd Ghani pada talian 087-425927.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *