Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan adakan latihan pengurusan bencana

21 Oktober 2016

LABUAN – Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan telah bergabung dengan beberapa agensi di Wilayah Persekutuan Labuan dalam Latihan Pengurusan Bencana (D-Mex) yang telah diadakan kelmarin di Jeti Marina Awam.

Pengarah jabatan tersebut, Jainal@Zainal Madasin berkata, latihan yang diadakan dua kali setahun itu diadakan untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan Jabatan Bomba dan Penyelamat di sini.

“Dalam latihan ini, kami mahu menilai tahap kerjasama antara agensi lain dan tempoh masa bertindak.

“Kami juga menitikberatkan sistem pengurusan insiden, pematuhan prosedur operasi mengikut agensi dan pengurusan sistem komunikasi dalam latihan ini,” katanya.

Bagi menghadapi sebarang kemungkinan insiden banjir berlaku, Jainal berkata, pihak mereka telah mengenal pasti dan membuat perancangan bagi lokasi yang berisiko tinggi dilanda banjir di Labuan.

Sehubungan itu, pusat penempatan bagi mereka yang terkesan oleh kemungkinan banjir ialah di Dewan Serbaguna Perbadanan Labuan, Dewan Jabatan Bomba dan Penyelamat di Layang-Layangan, Dewan Foo Chow dan Dewan Kompleks Sukan.

Antara agensi yang terlibat dalam latihan bersepadu tersebut ialah Perbadanan Labuan, polis, polis marin, Agensi Penguatkuasaan Marin Malaysia, TUDM, Jabatan Pertahanan Awam, Jabatan Kesihatan, Jabatan Laut, Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah dan sebagainya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *