Labuan IBFC ambil langkah untuk kekal relevan – Muhammad

28 Oktober 2016

LABUAN – Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Muhammad Ibrahim (gambar) berkata, perkembangan pusat kewangan antarabangsa bergantung kepada keperluan semasa berdasarkan kepada sejarah dan evolusi pusat kewangan luar pesisir.

Dalam ucapannya ketika Majlis Makan Malam Tahunan Industri Labuan 2016 semalam, beliau berucap, pada mulanya, perkembangan aktiviti perniagaan mengutamakan fleksibiliti dan kerahsiaan dalam penubuhan syarikat, dituruti dengan penjanaan kemudahan pasaran kewangan eurodollar antarabangsa.

governor-copy“Seperti dalam perjalanan kehidupan, perubahan adalah perlu dan sentiasa berlaku. Begitu juga aktiviti urusniaga yang kini menekankan kepada penguatkuasaan dan pengawalseliaan jitu bagi membenteras amalan yang berunsur negatif kepada pembangunan dunia sejagat.

“Dalam menghadapi edaran perubahan ini, Labuan IBFC telah mengambil langkah yang bersesuaian supaya sentiasa relevan. Namun, ianya kini harus melakar strategi baharu yang selari dengan aspirasi asal penubuhan dan juga menyesuaikan diri dengan peredaran polisi antarabangsa semasa supaya Labuan IBFC terus berdaya maju dan membangun dalam pelbagai aspek.

“Usaha gigih dan cekal pemain industri dan juga sokongan kerajaan yang berterusan akan memastikan kita sebagai sebuah industri dapat mencapai objektif ini. Kita perlu senantiasa membangun sumber manusia dan infrastruktur yang lengkap untuk mengukuhkan kesinambungan Labuan IBFC dalam suasana perkembangan ekonomi dunia yang lebih mencabar dan kompetitif,” katanya.

Justeru itu, Labuan FSA dan agensi kerajaan yang berkaitan termasuk BNM memberi jaminan kepada pemain industri iaitu beberapa langkah strategik, sedang dan akan diambil untuk menjadikan Labuan IBFC sebagai pusat kewangan dan perniagaan yang dinamik, progresif dan berwibawa di rantau ini.

“Kerjasama antara semua pihak yang berkepentingan adalah perlu dan saya berharap agar semua pihak terus memberikan kerjasama yang berterusan. Dengan adanya transformasi, kekuatan yang sedia ada dapat diperkukuhkan.

“Manakala, peluang baharu harus terus kita terokai,” katanya.

Sebelum itu, Muhammad berkata, inisiatif aktiviti persisiran Labuan merupakan salah satu inisiatif kerajaan yang beliau terlibat pada awal penubuhannya lebih dua dekad yang lalu di pulau ini.

Majlis makan malam yang dianjurkan oleh Persatuan Syarikat Amanah Labuan yang diadakan di Dewan Konvensyen, Ujana Kewangan itu dihadiri oleh pemain dan pekerja dalam industri kewangan termasuk insurans dan pelaburan.

Hadir sama dalam majlis itu ialah ketua pengarah Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA), Datuk Ahmad Hizzad Baharuddin dan pengerusi Persatuan Syarikat Amanah Labuan, Datuk Chin Chee Kee.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *