Lebih dari RM900,000 barang kes dimusnahkan di Ibu Pejabat Polis Labuan

FOTO: ADZHAR mengendalikan jentera untuk memusnahkan barang kes tersebut. 

27 Oktober 2016

LABUAN – Sejumlah 31 buah slot mesin dan 525 set komputer perjudian haram dimusnahkan pada hari ini di perkarangan pejabat stor exhibit Ibu Pejabat Polis Wilayah Persekutuan Labuan.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintenden Adzhar Othman berkata, perintah pelupusan atau pemusnahan kesemua barang kes atau exhibit itu yang dianggarkan bernilai RM907,500 dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Wilayah Persekutuan Labuan dibawah peruntukan Seksyen 406A Kanun Prosedur Jenayah.

“Pihak mahkamah berpuas hati dan mempercayai bahawa kesemua slot mesin dan set komputer tersebut telah diubahsuai sepenuhnya untuk dijadikan mesin judi bagi tujuan permainan berunsur perjudian seperti tafsiran mesin judi pada Seksyen 2 Akta Rumah Judi Terbuka 1952.

“Slot mesin dan set komputer ini melibatkan 62 kertas siasatan yang dibuka sejak tahun 2002 hingga 2014, dimana siasatan dijalankan dibawah Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1952 iaitu kesalahan berkaitan mesin perjudian haram.

“Dalam tempoh tersebut, jumlah tangkapan penjaga premis seramai 64 orang, iaitu 58 lelaki tempatan, empat wanita tempatan dan dua lelaki warga asing yang berumur dalam lingkungan 18 hingga 51 tahun,” katanya.

Beliau berkata lanjut, tangkapan ke atas pemain atau pengunjung ke premis judi itu pula ialah seramai 155 orang melibatkan 150 lelaki tempatan, empat wanita tempatan dan satu lelaki warga asing yang berumur dalam lingkungan 20 hingga 60 tahun.

“Kesemua 62 kertas siasatan telah selesai sepenuhnya. Usaha membenteras aktiviti mesin perjudian haram sentiasa menjadi fokus dan keutamaan pihak polis di sini.

“Pihak polis sentiasa menjalankan pemantauan dan risikan dari pelbagai sumber bagi memastikan tiada aktiviti mesin perjudian haram bertapak di Labuan,” katanya.

Sementara itu, Adzhar berkata, bagi sepanjang tempoh tahun 2015 sehingga Oktober tahun ini, sebanyak 85 serbuan telah dibuat di premis perjudian di sekitar Bandar Labuan.

“Dari jumlah serbuan itu, sebanyak 30 serbuan telah berjaya dan lima kes telah dituduh di mahkamah.

“Dalam tempoh itu juga pihak polis telah berjaya menangkap seramai 35 orang iaitu 28 lelaki tempatan, tiga wanita tempatan dan empat lelaki warga asing yang berumur antara 18 hingga 60 tahun.

“Dalam serbuan itu, sejumlah 57 mesin judi atau komputer dan alat perjudian dirampas bersama dengan wang tunai bernilai RM9,859,” katanya.

Sehubungan itu, Adzhar memohon kerjasama daripada orang awam agar menyalurkan sebarang maklumat berkenaan dengan aktiviti mesin judi di Labuan.

dsc_0003

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *