APMM Labuan rampas rokok seludup bernilai RM200,000

FOTO: PEGAWAI APMM Labuan menunjukkan rokok yang dirampas.

29 Oktober 2016

LABUAN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Labuan telah berjaya mematahkan cubaan menyeludup rokok tanpa cukai bernilai RM200,000 pada hari ini jam 12.32 pagi di Lawas, Sarawak.

Pengarah Maritim Daerah Labuan, Kapten Maritim Che Adnan Md Isa berkata kepada pihak media, bot peronda APMM Labuan telah mengesan dan mengekori sebuah bot yang dipercayai bot penyeludup yang bergerak dari Labuan menuju ke Bukit Sari, Lawas.

“Setelah hampir 50 minit mengekori, bot penyeludup tersebut didapati merapat ke tebing Sungai Bukit Sari dan kelihatan sebuah lori dan beberapa orang dalam keadaan mencurigakan sedang melakukan aktiviti pemunggahan barang.

“Kehadiran pihak APMM berjaya dikesan menyebabkan bot penyeludup itu tiba-tiba memecut laju untuk lari dari kawasan itu. Beberapa orang suspek yang berada di situ turut melarikan diri ke dalam belukar.

“Hasil pemeriksaan di dalam lori yang ditinggalkan itu mendapati sejumlah rokok jenama ERA dipercayai telah dibawa keluar dari Labuan secara haram dan disyaki telah melakukan kesalahan dibawah Akta Kastam 1967,” katanya.

Kesemua barang rampasan termasuk lori yang dianggarkan bernilai RM50,000 itu telah dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Labuan untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat maritim bagi siasatan lanjut.

Che Adnan percaya pelbagai modus operandi dilakukan oleh pihak terlibat dalam aktiviti penyeludupan ini dan dipercayai aktiviti itu masih lagi berterusan.

“APMM Labuan akan terus berusaha sedaya upaya untuk membenteras jenayah penyeludupan ini walaupun ianya sukar untuk dihentikan secara total,” katanya.

Menurut beliau, tangkapan itu adalah kes penyeludupan yang keenam bagi APMM Labuan pada tahun ini.

5
ROKOK dan lori yang ditinggalkan ketika serbuan itu. Sementara itu, bot peronda APMM Labuan kelihatan di belakang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *