Sejumlah 227 aduan berkaitan pakej penipuan umrah dilaporkan

FOTO: SENATOR Datuk Yunus Kurus kelihatan bersama dengan pegawai Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia dalam sidang media berkenaan dengan kempen kesedaran tersebut. 

9 November 2016

LABUAN – Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia telah merekodkan statistik aduan membabitkan kes umrah dari tahun 2012 hingga Oktober 2016 di negara ini sebanyak 227 aduan.

Jurucakap pihak kementerian berkenaan berkata, daripada jumlah itu, pihak kementerian telah mengeluarkan kompaun berjumlah RM372,000 yang melibatkan 74 kes yang melakukan kesalahan dibawah Akta Industri Pelancongan 1992.

“Dalam tempoh yang sama, sebanyak 3,482 kes telah difailkan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia dengan jumlah tuntuan sebanyak RM21,285,713.

“Sementara, pihak polis telah menerima 232 laporan dengan jumlah kerugian sebanyak RM21,285,713 untuk tempoh yang sama,” katanya dalam Kempen Kesedaran Penipuan Pakej Umrah/Ziarah dan Hak Kepenggunaan kepada orang awam di sini kelmarin.

Kempen pada kali ini dilaksanakan bagi mendapatkan maklumbalas orang ramai terutamanya dari pihak jabatan, agensi dan pemimpin masyarakat.

Kempen itu juga untuk memberikan maklumat perkembangan terkini yang melibatkan industri pelancongan disamping memberi tumpuan kepada isu semasa berkaitan umrah dan hak kepenggunaan.

Sehubungan itu, pada tahun ini, pihak Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia mensasarkan sebanyak 15 kempen kesedaran umrah dan hak kepenggunaan, dimana 11 siri kempen telah diadakan sebelum ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *