Tiga puluh ahli dan pemimpin pengakap SMK Labuan turut serta dalam perkhemahan

FOTO: ISMAIL (duduk empat kanan) dan Hong (duduk tiga kanan) bergambar bersama dengan pemimpin dan ahli pengakap diakhir majlis tersebut.

9 November 2016

LABUAN – Seramai 20 ahli dan 10 pemimpin pengakap SMK Labuan telah mengikuti Perkhemahan Ujian Lencana Usaha di sekolah tersebut baru-baru ini.

Pengetuan SMK Labuan, Ismail Abdullah berkata, perkhemahan itu diadakan sebagai ujian bagi mendapatkan Lencana Usaha iaitu peringkat pertama dalam skim latihan pengakap muda.

”Sepanjang program itu iaitu selama tiga hari, peserta diuji dalam pelbagai kemahiran seperti kemahiran simpulan dan ikatan, kawad kaki dan kawad tongkat, pertolongan cemas, pengembaraan sejauh 8 kilometer dan persembahan pentas,” katanya sebelum merasmikan Majlis Penutupan Kursus Lencana Usaha Pengakap peringkat SMK Labuan 2016.

Beliau yang juga merupakan Naib Yang Dipertua 1 Majlis Pengakap Negeri Labuan menyeru kepada Persatuan Pengakap SMK Labuan agar menjadi persatuan yang disegani dan dihormati di dalam dan luar sekolah.

“Kita mesti berpegang kepada apa yang tersurat dalam persetiaan pengakap supaya kita faham dan jelas kenapa kita menganggotai pengakap dan apa tanggungjawab kita sebagai ahli pengakap.

“Patuh kepada Tuhan, Raja dan Negara dengan sendirinya menjelaskan bagaimana bentuk peribadi seorang pengakap itu. Kita mesti memberi perhatian kepada amalan keagamaan dan kerohanian, amalan patriotik, dan cinta kepada negara.

“Menolong orang termasuk ibu bapa, guru dan rakan serta orang lain pada setiap masa juga merupakan pegangan penting sebagai seorang ahli pengakap. Menolong bukan kerana terpaksa, tetapi kerana jiwanya sudah tersemat rasa ingin menolong orang lain pada bila-bila masa,” katanya.

Ismail berkata lanjut, kursus berkala dan perjumpaan mingguan merupakan medan terbaik untuk ahli pengakap meningkatkan kemahiran diri dan kemampuan untuk melaksanakan tanggungjawab dengan lebih berkesan.

Beliau meminta supaya aspek berkaitan kenaikan pangkat ahli diberi perhatian serius dan dirancang secara sistematik supaya murid lebih merasai keseronokan dan semakin berminat untuk aktif dalam aktiviti pengakap.

Sementara itu, Ismail menyeru pengakap dikalangan pelajar agar meneruskan aktiviti pengakap walaupun selepas tamat persekolahan dan berazam untuk mencapai peringkat kenaikan pangkat tertinggi dalam pengakap serta terus membudayakan amalan menolong sesiapa sahaja yang memerlukan bantuan.

Selanjutnya beliau mengucapkan tahniah kepada semua pemimpin pengakap SMK Labuan atas inisiatif menyahut seruan beliau agar kursus Lencana Usaha itu diadakan dalam tahun ini juga.

Beliau turut merakamkan ucapan penghargaan terutamanya kepada ketua pesuruhjaya pengakap Negeri Labuan, Hong Heng Chee yang turut hadir dalam majlis itu kerana banyak membantu pelaksanaan kursus ini bersama penolong pesurujaya latihan yang lain.

Diakhir majlis, Ismail menyampaikan sijil penyertaan dan lencana kepada ahli pengakap yang berjaya dalam ujian tersebut.

Sementara itu, beliau turut menyerahkan sijil penghargaan kepada Hong dan juga kepada pihak urusetia yang terdiri daripada ahli pengakap sekolah yang aktif.

Hadir sama ialah penolong kanan kokurikulum SMK Labuan, Cheah Teong Aik, pemimpin dan ahli pengakap SMK Labuan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *