Bantahan peraturan kastam: PAS Labuan kesal keterlibatan DPMM Labuan dan DPIM Labuan

10 November 2016

LABUAN – PAS Labuan kesal dengan keterlibatan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Labuan dan Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) Labuan yang turut serta dalam mesyuarat dengan dewan perniagaan lain di sini berkenaan dengan peraturan kastam menghadkan penjualan minuman keras dan rokok di pulau ini.

Yang Dipertua PAS Labuan, Hj. Hamir Zahari (gambar) kelmarin berkata kepada pihak media, kekesalan tersebut timbul berikutan kedua dewan perniagaan yang mewakili umat Islam dan Melayu di sini terlibat didalam mesyuarat yang diadakan baru-baru ini di sini serta membuat keputusan bersama didalam membantah peraturan kastam tersebut.

hamir zahari“PAS Labuan sangat tidak bersetuju dengan keputusan kesemua dewan perniagaan tersebut. Apatah lagi keterlibatan kedua DPMM Labuan dan DPIM Labuan yang sudah tentunya mencemarkan imej umat Islam dan Melayu di Pulau Labuan.

“Semua agama di dunia ini melarang meminum arak. Malah, suatu ketika dahulu, mantan Ketua Menteri dan Ahli Parlimen Sabah, Datuk Seri Yong Teck Lee pernah menyatakan di parlimen bahawa arak dan judi bukan budaya orang Cina.

“Peniaga arak dan rokok ini merupakan segelintir golongan yang mengaut keuntungan dengan membelakangkan larangan agama masing-masing serta mengakibatkan kemusnahan moral masyarakat pengguna,” katanya.

Beliau menjelaskan, bukan hanya arak dan rokok sahaja yang boleh melonjakkan ekonomi pulau bebas cukai ini. Malah, banyak lagi produk lain yang boleh membantu pertumbuhan ekonomi Labuan.

“Kenyataan akhbar kesemua dewan tersebut juga menyatakan bahawa mereka akan mengumpul lebih daripada 2,000 tandatangan daripada orang awam di sini untuk membantah peraturan baharu kastam itu demi kelangsungan perniagaan mereka,” katanya.

Hj. Hamir menjelaskan, PAS Labuan ingin menegaskan kepada perdana menteri agar tidak terpedaya dengan tandatangan yang bakal dikumpulkan oleh gabungan dewan perniagaan tersebut.

Ini kerana, menurut beliau, jumlah tersebut tidak pun sampai 10 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk Labuan yang bakal mengundi didalam Pilihan Raya Umum (PRU) 14 nanti.

“Pada hakikatnya, rakyat Labuan sudah lama tahu hanya peniaga tertentu sahaja yang mengaut kemewahan hasil perniagaan arak ini. Dengan kekayaan itu, anak mereka dihantar belajar ke luar negara.




“Sedangkan anak pribumi terlantar mabuk dan mendatangkan masalah sosial dalam masyarakat akibat ketagihan arak dan rokok. Manakala, golongan peniaga terus rakus mengaut keuntungan tanpa menghiraukan nasib anak tempatan kita,” katanya.

Sehubungan itu, PAS Labuan menyeru agar seluruh rakyat Labuan membantah perniagaan arak tersebut.

“PAS Labuan menggesa kepada pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) Islam, Jabatan Agama Islam dan jawatankuasa seluruh masjid di Labuan agar berusaha mengumpul tandatangan bagi membantah tindakan gabungan dewan perniagaan terbabit.

“PAS Labuan juga ingin bertanya kepada pihak berwajib, sampai bilakan rakyat marhaen diperbodohkan oleh golongan peniaga arak dan rokok ini?

“PAS Labuan tidak membantah, malah setuju dan menyokong usaha untuk merancakkan serta memajukan ekonomi Labuan sebagai Pulau Bebas Cukai. Tetapi, bukannya dengan perniagaan arak dan rokok,” kata Hj. Hamir.

Beliau turut menyeru kepada rakyat di sini agar bangkit dan sedar mengenai kewajipan mereka didalam membantah tindakan gabungan dewan perniagaan terbabit.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *