Bulan Bahasa meriahkan Tamu Gadang UMSKAL

FOTO: YUNUS (kanan) menyampaikan buku cenderahati kepada Abdul Adzis selepas perasmian majlis sambutan BBK di UMSKAL. Turut kelihatan ialah Dr. Murnizam (dua kanan) dan Mohd. Zamri (kiri). 

19 November 2016

LABUAN – Pelaksanaan sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) bukanlah setakat ingin melunaskan objektif dan KPI tahunan semata-mata.

Senator Datuk Yunus Kurus berkata, jika kita menjiwai Bahasa Melayu, ia seolah-olah memiliki kesaktian.

“Menuturkan Bahasa Melayu mestilah disulami dengan adab susila. Sekiranya ingatan kita masih segar, kita akan ingat bagaimana ibu bapa pada zaman dahulu mendidik anak mereka dengan kaedah yang sangat menarik.

“Teguran dan marah kepada anak disampaikan dengan pemilihan perkataan yang menjaga pantang dalam tumbesaran anak. Apabila anak melakukan salah, ibu tidak memakinya tetapi akan berkata, “anak bertuah!”.

“Manakala, anak-anak pula dididik untuk membahasakan diri seperti along, angah dan sebagainya bagi menggantikan kata ganti diri apabila berbicara dengan orang tua. Keindahan susila dalam berbahasa ini menjadikan Bahasa Melayu istimewa dan ianya sukar dicari dalam bahasa yang lain,” katanya ketika merasmikan Majlis Sambutan Bulan Bahasa Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan 2016 yang diadakan pagi tadi di Dewan Theatrette, Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL).




Beliau berkata lanjut, intipati yang sakti ini yakni pemilihan perkataan menjadi ‘roh’ bagi Bahasa Melayu. Intipati ini juga dijadikan ramuan dalam menukilkan prosa dan puisi seperti peribahasa, pantun, sindir kiasan, dan sebagainya.

“Hanya dengan sebaris ayat sindir kiasan, maka kita akan beredar dan perbaiki kesilapan. Hanya dengan serangkap pantun, maka diterimalah pinangan si teruna. Inilah yang harus kita cari dan tonjolkan sebagai bangsa yang mendaulatkan Bahasa Melayu

“Bicaranya ringkas tapi membawa maksud yang dalam dan bernas,” katanya.

Hadir sama dalam majlis sambutan itu ialah ketua pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia (DBP), Datuk Abdul Adzis Abas.

Sehubungan itu, Yunus merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada DBP cawangan Sabah di atas perhatian dan terus memberikan sokongan saban tahun kepada Labuan dalam memastikan pelaksanakan sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan.




Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan itu diadakan sempena Tamu Gadang UMS.

Pada tahun lalu, sambutan tersebut telah diadakan di Kampung Sungai Bedaun dengan hasrat agar bulan bahasa ini turut diraikan oleh lapisan masyarakat di sini.

Manakala, pendekatan pada tahun ini pula ialah kepada perpustakaan dan masyarakat pelajar yang mewakili generasi muda.

Akitiviti Bulan Bahasa di Labuan telah bermula pada 9 Oktober yang lalu dan melibatkan kerjasama pengelolaan daripada Persatuan Penulis Wilayah Persekutuan Labuan (PERWILA), Maksak Labuan, Kolej Matrikulasi Labuan, Jabatan Pendidikan Labuan dan Jabatan Penyiaran Labuan (RTM).

Sehubungan itu, pada tarikh yang sama, Pengerusi Majlis Penasihat Perbadanan Labuan, Datuk Bashir Alias telah merasmikan Majlis Pelancaran Mini Bulan Bahasa Kebangsaan di Perpustakaan SMK Rancha-Rancha
dengan kerjasama Perpustakaan Labuan.

Pelbagai pertandingan dan bengkel diadakan yang turut disertai bukan sahaja oleh pelajar SMK Rancha-rancha bahkan mendapat penyertaan dari sekolah menengah di seluruh Labuan.




Menerusi program ini, ianya telah menampilkan peranan sampingan perpustakaan yang berupaya menjadi institusi diplomasi dengan pihak luar selain menjadi gedung ilmu pengetahuan.

Sementara itu, Yunus turut melancarkan buku antologi puisi yang berjudul ‘Membongkok Senja Tua’ hasil karangan Hj. Suili Bakar.

Beliau turut merakamkan ucapan syabas kepada pasukan pengkaji sejarah ‘Bumbung 12’ yang diketuai oleh Prof. Dr. Ismail Ali, Timbalan Naib Canselor UMS bersama rakan beliau yang diterbitkan dalam naskah yang mudah dibaca dan dimiliki.

Dalam majlis sambutan itu juga telah diadakan Pertandingan Nyanyian Lagu Puisi, dimana ianya telah dimenangi oleh Abdul Hamid Arbin (kategori lelaki) yang mewakili RTM Labuan dan Zurani Abdullah (kategori wanita) yang mewakili Perbadanan Labuan (PL).

Turut hadir dalam majlis sambutan itu ialah pengarah UMSKAL, Prof. Madya Dr. Murnizam Halik, ketua pegawai eksekutif PL, Azhar Ahmad, pengarah DBP Cawangan Sabah, Hjh. Asmiah Hj. Ajamain, timbalan ketua pegawai eksekutif PL (pembangunan), Mohd. Zamri Mohd. Esa dan pengarah Jabatan Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian PL, Mahathir Abdul Hamid.

2016-11-19-photo-00000927
Yunus menyampaikan hadiah kepada johan bagi kategori lelaki dalam pertandingan nyanyian lagu puisi. Turut kelihatan ialah tetamu jemputan lain.
2016-11-19-photo-00000929
Yunus menyampaikan hadiah kepada johan bagi kategori wanita dalam pertandingan nyanyian lagu puisi.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *