Kes melibatkan denggi di Labuan meningkat pada tahun ini

FOTO: YUNUS (tiga kanan) dan Dr. Ismuni (tiga kiri) kelihatan bersama dengan kakitangan hospital lain yang terlibat didalam program gotong-royong tersebut.

20 November 2016

LABUAN – Menjaga persekitaran agar kekal ceria dan bersih serta bebas dari pembiakan nyamuk aedes yang membawa penyakit denggi dan zika amatlah penting demi mencapai tahap kesihatan yang lebih baik dan menjamin kesejahteraan sejagat.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Wilayah Persekutuan Labuan, Dr. Ismuni Bohari berkata, kes denggi dan kematian akibat denggi di negara ini menunjukkan trend yang meningkat pada setiap tahun.

“Di Labuan turut menunjukkan peningkatan, dimana pada tahun ini sehingga bulan November, terdapat 13 kes melibatkan denggi dilaporkan berbanding hanya tiga kes pada tempoh yang sama pada tahun lalu.

“Peningkatan ini agak membimbangkan dan memerlukan perhatian dan tindakan semua pihak.




“Masyarakat khususnya penduduk di kawasan yang berpotensi perlu meningkatkan lagi usaha bagi memastikan persekitaran rumah, tempat kerja, sekolah dan lain-lain kawasan dalam kawasan mereka bebas daripada pembiakan nyamuk aedes ini,” katanya dalam Majlis Perasmian Gotong-Royong Mega Bersepadu Perangi Aedes Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan yang diadakan pada pagi tadi di Perumahan Kakitangan Awam MPL Tanjung Aru.

Beliau berkata lanjut, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Labuan sentiasa berusaha memastikan kawalan penyakit berbahaya ini dipertingkatkan pada setiap tahun.

“Aktiviti pendidikan kesihatan di sekolah, jabatan kerajaan dan swasta serta komuniti dalam bentuk pameran, ceramah, gotong-royong dan sesi soal jawab telah dilaksanakan sepanjang tahun.

“Kempen bebas aedes dan denggi turut diperkukuhkan dengan menggerakkan pasukan sukarelawan Combi di lapan lokasi yang aktif iaitu di Kampung Kerupang, Kampung Sungai Bangat, Kampung Rancha-Rancha, Kampung Batu Arang, Kampung Gersik, Kampung Lajau, Kampung Kilan dan Persatuan Ibu Tunggal dengan perlaksanaan gotong-royong yang berterusan.

“Sehingga minggu pertama bulan November ini, sebanyak 25 kali gotong-royong telah dilaksanakan termasuk di kawasan yang dikenal pasti mempunyai kes denggi,” katanya.




Sehubungan itu, edaran risalah dan pemasangan banner peringatan semasa cuti perayaan dan cuti persekolahan turut dilaksanakan bagi memastikan premis ditinggalkan tanpa adanya tempat untuk nyamuk aedes membiak.

Menurut Dr. Ismuni, pemeriksaan premis turut dilaksanakan oleh bahagian penguatkuasaan, dimana sehingga bulan Oktober tahun ini, sebanyak 4,900 premis telah diperiksa dan sejumlah sembilan kompaun bernilai Rm 4,500 ringgit telah dikeluarkan.

“Saya melihat program pada hari ini adalah antara komitmen bersama demi membanteras aedes dari terus membiak,” katanya.

Hadir untuk merasmikan program tersebut ialah Senator Datuk Yunus Kurus.

Turut hadir ialah pakar kesihatan keluarga, Dr. Masliza Yusuf, pengerusi Persatuan Ibu Tunggal Wilayah Persekutuan Labuan, Siti Rupiah Suparjo, pengerusi Panel Penasihat Klinik Kesihatan Labuan, Hj. Mustafa Tangkim dan ketua Kampung Lajau, Mohammad Jakop.

2016-11-20-photo-00002677
PESERTA gotong-royong membersihkan kawasan sekitar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *