Rasuah: Pengarah dan dua kontraktor direman membabitkan projek RM12 juta di Labuan

FOTO: KETIGA suspek itu dibawa ke Mahkamah Majistret Labuan pagi tadi.

22 November 2016

LABUAN – Seorang pengarah jabatan kerajaan bersama dengan dua orang kontraktor ditahan reman selama tujuh hari atas kes rasuah melibatkan projek kerajaan bernilai RM12 juta di kawasan Bandar Labuan.

Ketiga suspek itu dihadapkan di Mahkamah Majistret Labuan pagi tadi untuk tujuan pembentangan kes dan permohonan reman ke atas suspek.

Sebelum itu, aduan terhadap salah laku pengarah terbabit telah dibuat pada 16 November.

Sehubungan itu, pada 21 November, pihak SPRM menjalankan operasi berdasarkan aduan tersebut.

Dalam kes ini, pengarah jabatan kerajaan berkenaan telah meminta suapan bernilai RM100,000 daripada kedua kontraktor yang bekerja dalam syarikat yang sama untuk memperolehi projek pembangunan itu.

Ketiga suspek itu merayu agar tempoh reman mereka dikurangkan, namun, Hakim Haizah Tamin menetapkan tempoh reman mereka dibawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bermula dari 21 hingga 28 November ini. 

Sementara itu, kes ini akan disiasat dibawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *