Projek terbengkalai: PAS Labuan desak bangunan sekolah agama disiapkan segera

FOTO: TAPAK SMA Labuan yang kini dipenuhi lalang.

23 November 2016

LABUAN – PAS Labuan menuntut penjelasan daripada ketua pegawai eksekutif dan pengurus MAIWP Labuan atas kelembapan pembinaan Sekolah Menegah Agama (SMA) Labuan di Kampung Sungai Bedaun.

Yang Dipertua PAS Labuan, Hj. Hamir Zahari mendakwa, pihak mereka merasakan ada sesuatu yang tidak kena apabila pihak MAIWP secara tiba-tiba mendahulukan pembinaan Kompleks Anak Yatim Darul Kifayah di Jalan Tanjung Taras sini berbanding SMA Labuan.

hj-hamir-zahari
Hj. Hamir Zahari

“Rata-rata masyarakat Islam di Labuan sudah lama meminta dan memerlukan SMA untuk anak mereka melanjutkan pelajaran dalam bidang pendidikan agama.

“Penantian rakyat Labuan untuk mendapatkan SMA sudah melebihi 15 tahun, dimana sudah tiga kali Ahli Parlimen Labuan bertukar ganti. Seluruh warga Labuan tahu bahawa perdana menteri telah pun meluluskan dan mengumumkan bajet untuk pembinaan SMA tersebut.

“Tanpa ada sebarang pengumuman rasmi, pembinaan Kompleks Anak Yatim Darul Kifayah kini sudah hampir siap walaupun masih lagi tertangguh, dimana tarikh siap kompleks tersebut sepatutnya pada 31 Oktober tahun lalu. Manakala, tapak SMA kini masih dipenuhi lalang,” katanya kepada pihak media kelmarin.

Justeru itu, PAS Labuan meminta pihak MAIWP memberi jawapan kepada persoalan atas keutamaan apakah pembinaan kompleks itu didahulukan, berapa kos pembinaan kompleks tersebut, bila tarikh mesyuarat dan kelulusan pembinaan kompleks itu, dan kenapa projek tersebut tertangguh lebih dari setahun.

Sehubungan itu, pihak PAS mempersoalkan siapakah yang bakal dipertanggungjawabkan untuk menutup kos kelewatan pembinaan kompleks terbabit.

2016-11-22-photo-00000135
Kompleks Anak Yatim Darul Kifayah di Jalan Tanjung Taras.

“PAS Labuan mengingatkan pihak MAIWP agar tidak membazir duit pembayar zakat yang mahukan perbelanjaan hasil kutipan zakat itu menepati matlamat dan tujuannya yang sebenar.

“Kami tidak mahu melihat dan mendengar ‘kos tersembunyi’ dalam mana-mana projek yang dikendalikan oleh pihak MAIWP.

“Sebenarnya, pihak PAS Labuan sudah pun menghantar memorandum kepada pihak JAWI dan MAIWP pada tahun 2014 dan meminta pembinaan SMA diutamakan dan disegerakan,” katanya.

Hj. Hamir berkata lanjut, pihak mereka mendapati, pihak MAIWP di Kuala Lumpur sudah banyak kali bermesyuarat, tetapi proses pembinaan SMA masih belum disempurnakan lagi.

“Oleh itu, PAS Labuan berpandangan bahawa pengerusi atau ketua pegawai eksekutif MAIWP Wilayah Persekutuan dan pengurus MAIWP Labuan gagal dan tidak cekap didalam mengenal pasti keutamaan dan kehendak sebenar masyarakat Islam di Labuan,” katanya.

PAS Labuan mencadangkan supaya ketua pegawai eksekutif MAIWP digantikan dengan individu yang lebih cekap untuk mengurus dan mengawal selia MAIWP dengan lebih efektif.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *