Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan serah rumah kepada penerima

FOTO: ROZMAN (tiga kiri) dan Jainal (dua kiri) menyerahkan replika kunci rumah kepada keluarga Jurinah dalam majlis tersebut. 

26 November 2016

LABUAN – Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan telah menyerahkan rumah yang telah siap dibina kepada keluarga Jurinah Zainal dalam Majlis Penyerahan Rumah Projek NBOS 7 di Kampung Rancha-Rancha Darat kelmarin.

Pengarah jabatan tersebut, Jainal@Zainal Madasin berkata, rumah tersebut adalah hasil kerja serta kepakaran pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan yang dilaksanakan secara bergotong-royong dengan bantuan pihak berkuasa tempatan dan beberapa individu.

“Pihak jabatan merasa bangga kerana pegawai jabatan dapat menyiapkan rumah ini dengan penuh komitmen dan berkualiti walaupun ianya di luar tugas hakiki sebagai seorang pegawai bomba.

“Program pembinaan semula rumah dibawah NBOS7: My Beautiful Neighbourhood ini merangkumi pembinaan semula rumah terbakar, rumah golongan miskin dan juga pembaikan semula.

“Walau bagaimanapun, bukan semua rumah yang terbakar dan warga miskin kita akan bina. Ianya terhad dan bergantung kepada peruntukan dan kapasiti pelaksanaan di setiap negeri serta kelayakan calon atau peserta mengikut kriteria pemilihan yang telah ditetapkan,” katanya.




Beliau berkata lanjut, jika dilihat kepada jumlah projek yang berjaya dilaksanakan, kuantitinya adalah kecil. Tetapi, apa yang boleh dibanggakan, melalui program ini, ianya telah memberi impak yang begitu mendalam kepada masyarakat khususnya penerima.

“Ini membuktikan bahawa pihak kerajaan dan bomba khususnya, sentiasa prihatin terhadap kesusahan masyarakat walaupun sibuk dengan tugas memadam kebakaran dan menyelamat.

“Jika dulu bomba sememangnya sinonim dengan kerja memadam kebakaran dan penyelamatan. Tetapi, melalui program ini, kita gunakan secara optimum tenaga dan kemahiran yang dimiliki oleh pegawai untuk membina semula rumah yang terbakar atau rumah untuk orang miskin.

“Semoga dengan adanya rumah baharu ini, penerima dapat menjalani kehidupan dengan lebih baik lagi bersama keluarga tersayang. Semoga dengan usaha dan program seumpama ini, ianya dapat membantu meringankan beban masyarakat yang memerlukan,” katanya.

Sehubungan itu, sejumlah 259 projek NBOS7 telah dilaksanakan pada tahun ini.

Ianya melibatkan 214 projek membaik pulih rumah rakyat yang kurang mampu dan 45 buah untuk pembinaan semula rumah yang terbakar.

Turut hadir untuk menyerahkan rumah dalam majlis tersebut ialah Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *