Peranan dan sumbangan media Labuan dihargai

FOTO: BASHIR menyampaikan sijil penghargaan kepada guru Kelab Doktor Muda SMK Lajau dalam majlis tersebut. Turut kelihatan ialah Dr. Ismuni (kiri).

26 November 2016

LABUAN – Sumbangan media adalah penting didalam membantu Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Labuan didalam melaksanakan program sepanjang tahun.

Dalam teks ucapan pengarah jabatan tersebut, Dr. Ismuni Bohari berkata, rakan media turut menyumbang kepada setiap kejayaan yang dicapai oleh jabatannya dalam setiap aktiviti promosi yang dilaksanakan.

“Jabatan Kesihatan Labuan sangat menghargai peranan media yang selama ini telah memberikan kerjasama yang baik dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat. Segala bantuan yang diberikan oleh pihak media amatlah kami hargai.



“Tidak lupa juga kepada semua agensi yang sentiasa bersama jabatan kami dalam setiap program yang dilaksanakan. Sokongan semua jabatan di sini amatlah kami hargai khususnya dalam mempromosikan gaya hidup sihat seperti aktiviti 10 ribu langkah dan gotong-royong untuk membenteras aedes serta penyakit lain agar Labuan terus sejahtera.

“Tahniah kepada semua bahagian dan seksyen dibawah Jabatan Kesihatan Labuan yang telah melaksanakan semua aktiviti dan memastikan semua perkhidmatan yang diberikan pada tahap yang terbaik serta mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang telah ditetapkan,” katanya dalam Majlis Dialog dan Apresiasi Media 2016 yang dianjurkan oleh jabatan tersebut baru-baru ini di Hotel Tiara Labuan.

Majlis tersebut diadakan untuk meraikan dan menghargai bakti yang telah disumbangkan oleh pihak media dalam membuat publisiti dan hebahan atas setiap aktiviti yang dilaksanakan oleh Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Labuan.

Dr. Ismuni berkata lanjut, beberapa kejayaan telah dicapai pada tahun ini.

Antaranya ialah pasukan COMBI Wilayah Persekutuan Labuan yang diwakili oleh Kampung Sungai Bangat dan Rancha-Rancha telah melakar nama di peringkat kebangsaan dengan mendapat tempat ketiga dalam Projek Inovasi Pencegahan Denggi.

Manakala, Kelab Doktor Muda SMK Lajau telah merangkul Anugerah Persembahan Video terbaik peringkat kebangsaan dalam Program TV Kelab Doktor Muda yang disiarkan di ASTRO Ceria dengan menewaskan 14 buah sekolah di seluruh negara.

Sementara itu, ahli Kelab Doktor Muda SK Tanjung Aru merangkul gelaran peserta wanita terbaik dan berkepimpinan peringkat kebangsaaan sempena Summer Health Camp untuk Program Doktor Muda yang diadakan di Kedah.

Hadir sama dalam majlis itu ialah pengerusi Majlis Penasihat Perbadanan Labuan, Datuk Bashir Alias, timbalan  pengarah kesihatan negeri (Bahagian Kesihatan Awam), Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Labuan, Dr. Mohd Zaki Ab. Hamid, pengarah Hospital Labuan, Dr. Adnan Musa Balidran dan pengerusi Persatuan Penggiat Media Labuan, Jainuddin Djimin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *