Sejumlah 25 penagih ditahan oleh AADK di Labuan

FOTO: SALAH seorang penagih yang ditahan dalam operasi tersebut.

28 November 2016

LABUAN – Sejumlah 25 orang didapati positif dadah melalui hasil ujian saringan awal air kencing dalam satu serbuan yang dilaksanakan secara bersama oleh anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Sabah dan Labuan di sini baru-baru ini.

Pengarah AADK Negeri Sabah, Bakri Bibi berkata, operasi dijalankan berdasarkan aduan awam dan hasil risikan yang dijalankan selama seminggu oleh pihak AADK Negeri Sabah dan AADK Wilayah Persekutuan Labuan.

“Serbuan ini dilakukan seawal jam 12 pagi di beberapa perkampungan di sekitar Labuan dan telah berjaya menahan seramai 35 orang yang disyaki penagih dadah.

“Daripada jumlah itu, 25 orang (23 lelaki dan dua perempuan) didapati positif dadah dan ditahan dibawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

“Kesemua yang ditahan itu berumur antara 17 hingga 49 tahun, dimana umur yang paling muda telah mula mengambil dadah sejak setahun yang lalu. Manakala, yang paling tua telah mengambil dadah semenjak 18 tahun yang lalu,” katanya.




Beliau berkata lanjut, apa yang menyedihkan ialah ada dikalangan mereka yang ditahan dalam operasi tersebut pernah ditangkap dan menjalani pengawasan dibawah AADK beberapa tahun yang lepas. Tetapi, mereka masih bergelumang dengan najis dadah.

Operasi tersebut yang dikenali sebagai ‘Ops Strike 13’ membabitkan 13 orang pegawai dan anggota daripada AADK Negeri Sabah dan AADK Wilayah Persekutuan Labuan yang diketuai oleh ketua unit operasi AADK Negeri Sabah, Erwan Roslan.

Sehubungan itu, Bakri Bibi berkata, pihak AADK Negeri Sabah akan terus melakukan pemantauan dari semasa ke semasa bagi membanteras kegiatan penagihan dadah.

Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung penyalahgunaan dadah boleh menyalurkan maklumat dengan menghubungi AADK Wilayah Persekutuan Labuan di talian 087-422977 atau tampil ke pejabat AADK yang berhampiran.

2016-11-27-photo-00000023
PENAGIH cuba bersembunyi di dalam saliran konkrit untuk mengelak daripada ditangkap.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *