Jambatan Labuan-Sabah: Kerajaan digesa buat keputusan segera

3 Disember 2016

LABUAN – Penduduk Labuan mahukan satu keputusan yang jelas dari pihak kerajaan berkenaan dengan pembinaan jambatan yang menghubungkan Pulau Labuan dengan Tanah Besar Sabah.

Ahli Majlis Penasihat Perbadanan Labuan, Hjh. Fauziah Datuk Mohd. Din (gambar) berkata, perkara mengenai pembinaan jambatan itu sudah lama dibincangkan, namun, belum ada satu pun keputusan yang jelas mengenai perkara itu.

Hajah Fauziah Datuk Mohd. Din.“Kajian pembinaan jambatan itu sudah pun dibuat oleh pihak Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan kajian itu juga sudah dibentangkan kepada pihak kerajaan.

“Melalui kajian itu, kos pembinaan jambatan tersebut dianggarkan antara RM2 ke RM3 bilion. Jika pembinaan itu dilaksanakan pada waktu itu iaitu 10 tahun yang lepas, ianya tidak mustahil kerana kerajaan masih lagi mempunyai dana yang cukup ketika itu.

“Kalau ditangguhkan lagi pembinaan jambatan tersebut, kosnya sudah tentu meningkat lagi jika pihak kerajaan yang menanggung kos pembinaannya,” katanya kepada pihak media baru-baru ini.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan dalam lawatannya ke Labuan pada 10 November lalu berkata, pihak kerajaan persekutuan dijangka mengadakan perbincangan dengan pihak kerajaan Negeri Sabah pada awal tahun depan iaitu Januari berkenaan dengan projek pembinaan Jambatan Labuan-Sabah tersebut.

Sehubungan itu, Hjh. Fauziah mengulas, beliau masih sangsi berkenaan dengan ketelusan dan keinginan kerajaan untuk membina jambatan itu.

“Saya tidak fikir pembinaan jambatan itu dapat dilaksanakan dalam tempoh dua ke tiga tahun. Tambahan pula, Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) juga sudah sudah hampir dan apakah ianya bakal menjadi janji dalam PRU tersebut pula?

“Sekarang bukan masa untuk mengadakan perbincangan lagi. Tetapi, sekarang adalah masa untuk mengumumkan kepada rakyat terutamanya di Labuan sama ada mahu membina atau tidak jambatan tersebut,” tegasnya.




Beliau berkata lanjut, terdapat dua pilihan yang pernah difikirkan mengenai pembinaan jambatan itu.

Pilihan pertama ialah pembinaan jambatan itu akan dibiayai oleh pelabur dari Negara China sebagaimana yang diusahakan oleh bekas ketua menteri Sabah, Tan Sri Harris Salleh sebelum ini.

“Pilihan pertama ini ditolak oleh kerajaan persekutuan dan kerajaan Negeri Sabah. Pada pandangan saya, pihak kerajaan perlu mempertimbangkan kembali pilihan pertama itu.

“Ini kerana, beliau (Harris) agak rasional dari segi cadangan yang dikemukakan,” kata Hjh. Fauziah.

Sementara itu, pilihan kedua pula ialah cadangan yang dikemukan oleh Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli agar jambatan tersebut dibina atas tanah yang ditimbus untuk menghubungkan antara Pulau Labuan dengan Pulau Daat.




Dalam pilihan kedua ini, perjalanan feri kenderaan antara Pulau Labuan dan Menumbok, Sabah dipendekkan, dimana terminal feri kenderaan dipindahkan ke Pulau Daat.

“Saya bukan tidak bersetuju dengan cadangan Rozman. Tetapi, bagaimana dengan keadaan trafik di Pulau Daat nanti akibat kereta yang datang berpusu-pusu untuk menunggu feri di situ.

“Jika hendak difikirkan mengenai perjalanan antara Pulau Daat dan Menumbok, saya fikir perkhidmatan feri tidak lagi sesuai. Kalau beliau iaitu Abdul Rahman serius mahu melaksanakan pembinaan jambatan tersebut, beliau perlu laksanakan cadangan Rozman itu dengan membina pula jambatan untuk menghubungkan antara Pulau Daat dan Menumbok.

“Ini disebabkan mereka telah pun menolak cadangan Harris atas faktor risiko,” katanya.

Hjh. Fauziah turut berkata, penduduk Labuan tidak mahu lagi berbicara berkenaan dengan feri.




“Tutuplah cerita berkenaan dengan feri kenderaan ini. Jika pengusaha feri menentang berkenaan dengan keputusan menutup perkhidmatan mereka, pihak kerajaan boleh membayar pampasan kepada mereka.

“Saya fikir bisnes mereka bukan setakat feri sahaja dan saya bukannya menentang perkhidmatan feri ini, malah sumbangan pengusaha feri amatlah kita hargai.

“Kerajaan perlu membuat keputusan berkenaan dengan pembinaan jambatan tersebut dan bukan hanya sekadar gimik sahaja dengan menjanjikan pembinaan Jambatan Labuan-Sabah sekiranya menang pada PRU ke-14 nanti,” katanya.

Berkenaan dengan kemudahan ramp di terminal feri kenderaan Labuan dan Menumbok kini, Hjh. Fauziah berkata, pihak kerajaan perlu menambah kemudahan itu dari satu ke dua ramp pada kedua terminal feri kenderaan itu untuk mempercepatkan masa feri berlabuh dan menurunkan kenderaan.

Beliau berkata, jika pihak kerajaan mampu berbelanja untuk pembinaan projek Transit Aliran Massa (MRT) di Semenanjung yang menelan kos berbilion ringgit, kemudahan ramp di Labuan dan Menumbok juga perlu dibina.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *