Bot pancing hilang tanpa kesan di Pulau Mantanani

FOTO: KEDUDUKAN terakhir bot pancing di sekitar 21 batu nautika barat laut Pulau Mantanani.

13 Disember 2016

KOTA KINABALU – Bot pancing yang dinaiki tiga anak kapal bersama dengan sembilan orang pemancing dilaporkan hilang di perairan Pulau Mantanani sejak kelmarin.

Pengarah Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Sabah, Laksamana Pertama Maritim, Mohd. Zubil Mat Som berkata, bot tersebut sepatutnya dijangka balik pada 12 Disember, jam 2 petang.

“Pemilik bot tersebut memaklumkan kepada pihak kami bahawa bot pancing tersebut telah bertolak pada 10 Disember lalu dari Kota Kinabalu. Kemudian, pada 11 Disember, jam 3.07 petang, beliau telah menerima panggilan dari kapten bot terbabit yang memaklumkan, ‘gear box’ kapal tersebut telah mengalami kerosakan.

“Koordinat terakhir bot tersebut adalah pada posisi lebih kurang 21 batu nautika barat laut Pulau Mantanani. Pemilik bot itu telah berusaha menghubungi kapten kapal berkenaan melalui telefon satelit, tetapi gagal. Beliau turut mengarahkan kapal yang lain untuk mengesan bot tersebut berdasarkan posisi yang diberikan, tetapi gagal.

“Usaha mencari itu diteruskan sehingga 12 Disember, jam 7 pagi. Apabila, usaha pencarian tersebut menemui jalan buntu, beliau lantas menghubungi dan memohon bantuan pihak APMM dan polis pada jam 4.18 petang,” katanya.




Beliau berkata lanjut, operasi mencari dan menyelamat bot pancing terbabit diaktifkan pada jam 8 malam iaitu pada hari yang sama laporan tersebut dibuat.

“Usaha mencari telah diaktifkan dan aset telah digerakkan. Namun, operasi ini sedikit sukar dan mencabar kerana laporan dibuat selepas 24 jam kejadian tersebut berlaku.

“Namun demikian, cabaran ini bukanlah alasan dan halangan untuk pihak APMM didalam melaksanakan operasi mencari dan menyelamat dengan penuh dedikasi untuk mengesan bot tersebut.

“Kapal dagang yang melalui perairan tersebut juga telah dimaklumkan dengan menggunakan ’Navigation Telex’ (Navtex) dan berharap agar komuniti maritim juga turut membantu,” katanya.

Dua kapal APMM iaitu KM Memmon dan KM Berani serta satu kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), KD Paus terlibat didalam operasi mencari dan menyelamat itu.

Sementara itu, pihak MRCC Kota Kinabalu telah menghantar permohonan tambahan aset pasukan mencari dan menyelamat kepada agensi atau jabatan maritim yang lain.

BOT pancing yang hilang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *