Bot pancing yang hilang selamat tiba di pangkalan TLDM, Sepanggar

FOTO: KESEMUA mangsa yang ditemui itu bergambar bersama dengan anggota APMM dan TLDM setelah tiba di Pangkalan TLDM, Sepanggar.

14 Disember 2016

KOTA KINABALU – Bot pancing yang hilang di perairan Pulau Mantanani pada 12 Disember lalu, kini selamat tiba di Pangkalan TLDM, Kota Kinabalu pada jam 8 malam kelmarin.

Pengarah Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Sabah, Laksamana Pertama Maritim, Mohd. Zubil Mat Som berkata pada hari ini, bot pancing itu ditemui pada posisi lebih kurang empat batu nautika timur laut dari posisi terakhir bot itu dilaporkan hilang.

“Bot itu ditemui setelah operasi mencari dan menyelamat diaktifkan tidak sampai 10 jam. Tiga anak kapal bersama sembilan orang pemancing yang hilang bersama bot itu juga selamat dan dalam keletihan.

“Kapal TLDM, KD Paus telah menemui bot itu pada jam 10.05 pagi kelmarin. Lokasi penemuan itu ialah 50 batu nautika dari pangkalan TLDM Kota Kinabalu (PTKK), Sepanggar. Hasil pemeriksaan, bot tersebut telah mengalami kerosakan dan terpaksa ditunda dengan halaju lima knot.

“KD Paus telah menunda bot tersebut dengan diiringi oleh kapal APMM iaitu KM Memmon,” katanya sambil meluahkan rasa syukur dan mengucapkan syabas kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat kesemua mangsa terbabit.

Sehubungan itu, beliau menekankan akan kepentingan memasang Automatic Identification System (AIS) pada bot pancing agar ianya dapat membantu untuk mengesan bot mangsa dengan tepat.

Mohd. Zubil menyeru kepada komuniti maritim agar segera memaklumkan kepada pihak APMM sekiranya berlaku perkara yang sama lagi sebelum melakukan usaha pencarian mereka sendiri.

Ianya akan memudahkan pihak APMM untuk bertindak segera dan mengelakkan pencarian menjadi semakin sukar kerana kawasan pencarian akan menjadi luas disebabkan bot akan dihanyutkan mengikut arah angin dan arus.

Ketika ditemui, ahli keluarga mangsa yang menyambut ketibaan mangsa di pangkalan TLDM mengucapkan berbanyak terima kasih kepada pihak APMM dan TLDM kerana berjaya menemui kesemua mangsa yang dilaporkan hilang.

KELIHATAN bot pancing ditunda oleh KD Paus.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *