MoU: Pelajar ILP Labuan akan sertai latihan industri

FOTO: ROZMAN (tiga kiri), Chin (dua kanan), Hj. Syed Mohamad Noor (tiga kanan), Mohd Za (dua kiri), Abdullah (kanan) dan pegawai Weldfield kelihatan ketika MoU tersebut.

16 Disember 2016

LABUAN – Pihak Jabatan Tenaga Manusia pada hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (Mou) dengan Weldfield Services Sdn. Bhd dan Hotel Dorsett Grand Labuan untuk melatih pelajar Institut Latihan Perindustrian (ILP) Labuan di kedua organisasi tersebut.

Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia, Datuk Chin Phaik Yoong berkata dalam ucapannya, MoU tersebut merupakan salah satu usaha untuk menjalinkan usahasama denga pihak industri dalam mempergiatkan aktiviti latihan, peningkatan kemahiran belia dan perkongsian teknologi.

“MoU ini adalah permulaan yang baik untuk kerjasama antara pihak ILP Labuan dan pihak industri di Labuan. Saya berharap kita semua berganding bahu dan bekerja keras untuk memastikan program yang dirancang akan dicapai.

“Kerjasama ini bakal memperluas dan menambah peluang latihan kemahiran kepada belia. Ianya akan meningkatkan kemahiran pekerja sedia ada didalam pelbagai kemahiran terutamanya yang melibatkan industri minyak dan gas serta perhotelan,” katanya sebelum MoU itu dimeterai.

Jalinan kerjasama tersebut melibatkan aktiviti seperti melatih golongan belia melalui program Skim Latihan Dual Nasional (SLDN), meningkatkan kepakaran kakitangan kedua belah pihak melalui keterlibatan dalam industri serta perkongsian teknologi dan kepakaran.

Kerjasama itu juga bakal menempatkan pelajar ILP Labuan di kedua syarikat tersebut untuk latihan praktikal serta mempromosikan program latihan yang dijalankan dalam memberi kesedaran mengenai kepentingan latihan kemahiran.

Dalam mencapai misi dan visi Kementerian Sumber Manusia, Jabatan Tenaga Manusia melalui Institut Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM) di seluruh negara merangka strategi untuk mengadakan kerjasama strategik dalam meningkatkan kualiti modal insan sebagai elemen utama dalam negara mengorak langkah menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020.

Sehubungan itu, Chin berkata, antara kerjasama strategik yang diadakan ialah dengan mewujudkan jawatankuasa ILJTM seperti Jawatankuasa Penasihat Teknikal (TAC), Panel Penasihat ILJTM, Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Latihan, dan Jawatankuasa Pembangunan Komuniti.

“Selain itu, setiap ILJTM mengadakan sekurang-kurannya satu MoU dan dua kerjasama pintar dengan pihak industri.

“Kita berharap akan lebih banyak syarikat atau pun industri di sini yang tampil untuk mengorak langkah lebih aktif dalam menggarap dan membangunkan sektor teknologi baru dan program latihan kemahiran dengan mengadakan kerjasama strategik dengan ILP Labuan.

“Seiring dengan pengetahuan berasaskan ekonomi yang digubal kerajaan, kualiti tenaga kerja akan dipertingkatkan dengan menambah peratusan tenaga kerja yang mempunyai pencapaian pendidikan di peringkat tinggi bagi memenuhi permintaan ekonomi berasaskan pengetahuan,” kata Chin.

Hadir untuk menyaksikan Mou itu ialah Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli.

Turut hadir ialah timbalan ketua pengarah, Jabatan Tenaga Manusia, Hj. Syed Mohamad Noor Syed Mat Ali, Pengurus Besar Weldfield Services Sdn Bhd, Mohd Za Mohamad dan pengarah ILP Labuan, Abdullah bin Muhamad.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *