Kemalangan jalan raya: Pemandu tersepit berjaya dikeluarkan di Jalan Papar, Kimanis

FOTO: KERETA Proton Saga yang bertembung dengan Van Urvan tersebut.

19 Disember 2016

PAPAR – Seorang pemandu lelaki berumur 40-an mengalami kecederaan serius pada bahagian kaki apabila kereta Proton Saga BLM yang dipandu olehnya bertembung dengan Van Urvan dalam insiden kemalangan yang berlaku pada hari ini di Kampung Andus, Jalan Papar, Kimanis.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah, Hj. Nordin Fauzi berkata, pihak mereka telah menerima panggilan kecemasan berkenaan dengan kemalangan jalan raya tersebut pada jam 2.43 petang.

“Pemandu Proton Saga itu tersepit pada bahagian kaki dan telah berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Papar. Mangsa seterusnya dikejarkan ke hospital oleh anggota kami.

“Sementara itu, pemandu van iaitu lelaki berumur 50-an bersama dengan penumpang van tersebut iaitu seorang wanita hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya.

Mangsa wanita tersebut dikejarkan ke hospital oleh orang awam yang turut membantu di lokasi kejadian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *