Dua puluh lapan orang tamat kursus pemandu pelancong di Labuan

FOTO: RASHIDI (depan, tujuh kanan), Rozman (depan, tujuh kiri), Vinson (depan, lima kanan) dan Mahathir (depan, empat kiri) kelihatan bersama dengan peserta kursus tersebut.

21 Disember 2016

LABUAN – Sejumlah 28 orang telah menyertai kursus pemandu pelancong alam semulajadi setempat tahap dua yang telah diadakan selama 16 hari di sini.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan), Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Datuk Rashid Hasbullah berkata, kursus tersebut bertujuan untuk memenuhi keperluan semasa bagi melahirkan pemandu pelancong yang bertauliah di Labuan.

“Pada masa ini, hanya terdapat dua orang pemandu pelancong alam semulajadi setempat (lencana hijau) dan seorang pemandu pelancong bandar (lencana biru). Bilangan ini tidak mencukupi memandangkan peningkatan pelancong asing ke Labuan yang menggalakkan pada tahun ini terutamanya dari China.

“Pada pertengahan tahun ini, pihak kementerian telah mengeluarkan 22 lesen pemandu pelancong sementara kepada penduduk tempatan untuk memenuhi kehendak industri. Kesemua lesen sementara itu akan tamat tempoh pada hujung tahun ini.

“Daripada jumlah tersebut, 12 orang pemegang lesen sementara itu merupakan peserta kursus pemandu pelancong. Ini menunjukkan mereka yakin dan percaya bahawa industri pelancongan mempunyai masa depan yang kukuh di Labuan dan pemandu pelancong berlesen boleh dijadikan satu kerjaya,” katanya dalam majlis penutup kursus tersebut yang diadakan di sini kelmarin.




Majlis itu diadakan untuk meraikan bakal pemandu pelancong yang telah menamatkan sejumlah 180 jam kredit kursus.

Antara modul wajib yang diikuti oleh peserta kursus termasuklah tanggungjawab dan peranan pemandu pelancong sebelum, semasa dan selepas menerima pelancong, pengetahuan kecemasan, pengetahuan tentang flora dan fauna tempatan dan pengetahuan keselamatan semasa menjalankan aktiviti air, jungle trekking, perkhemahan dan sebagainya.

Peserta turut mengikuti Program Eco-Host yang dianjurkan oleh pihak kementerian dan modul tambahan bagi memperbaiki penyampaian pemanduan di lapangan, dimana kursus tersebut diakhiri dengan peperiksaan yang dianjurkan oleh pihak kementerian iaitu peperiksaan bertulis dan praktikal.

Keputusan peperiksaan dijangka akan diperoleh pada awal tahun 2017.

Sehubungan itu, Rashid berkata, penganjuran kursus itu sangat relevan untuk membangunkan Wilayah Persekutuan Labuan sebagai destinasi pelancongan yang unggul pada masa akan datang.

“Kesemua peserta kursus diharapkan memainkan peranan sebagai ‘duta kecil’ bagi memperkenalkan Labuan kepada pelancong yang datang ke sini,” katanya.




Beliau berkata lanjut, pihak kementerian telah memperuntukkan sejumlah RM75,000 bagi membiayai sebahagian kos penganjuran kursus tersebut.

“Yuran penyertaan sebanyak RM1,500 seorang diperuntukkan kepada 50 orang peserta pertama. Manakala, bakinya dibiayai oleh peserta sendiri.

“Terdapat 22 kekosongan lagi untuk menyertai kursus dengan tajaan RM1,500 setiap seorang itu, dimana pihak kementerian akan mengadakan lagi kursus pemandu pelancong alam semulajadi setempat siri dua pada tahun depan,” katanya.

Berdasarkan statistik, jumlah ketibaan pelancong sehingga November 2016 ke Labuan ialah seramai 73,033 orang dari luar negara dan sejumlah 827,182 orang untuk domestik.

Manakala, 23 agensi pelancongan telah berdaftar dengan pihak Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) Labuan.

Hadir dalam program tersebut ialah Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli, setiausaha bahagian pembangunan industri, MOTAC, Hussain Boh, Pengarah MOTAC Labuan, Vinson Embaran dan Pengarah Jabatan Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian, Perbadanan Labuan, Mahathir Abdul Hamid.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *