KPDNKK Labuan laksana skim kawalan harga sehingga 28 Disember

22 Disember 2016

LABUAN – Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Krismas 2016 telah dikuatkuasakan bermula 19 hingga 28 Disember ini di seluruh negara termasuk Wilayah Persekutuan Labuan.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Wilayah Persekutuan Labuan, Arun Fazhillah Hamdan berkata, skim yang dilaksanakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 tersebut bertujuan untuk menyekat kenaikan harga barangan keperluan sebelum, semasa dan selepas perayaan Krismas.

“Pihak kementerian telah menetapkan kawalan terhadap 18 jenis barangan bagi pelaksanaan skim kawalan harga ini termasuklah harga ayam, telur ayam, ayam belanda, sayuran, daging kambing dan daging babi.

“Penentuan harga barangan bagi setiap negeri dibuat mengikut kesesuaian harga pasaran semasa dan mengambil kira faktor perubahan harga, khususnya bagi barangan import yang dipengaruhi oleh harga di negara asal dan perubahan kadar tukaran mata wang,” katanya.

Sehubungan itu, peniaga diwajibkan menjual barangan harga terkawal tidak melebihi harga maksimum yang ditentukan oleh kerajaan dan meletakkan tanda harga khas berwarna merah jambu bagi membezakan dengan barangan lain.

Walau bagaimanapun, peniaga digalakkan untuk menjual barangan tersebut lebih rendah daripada harga maksimum yang ditetapkan sekiranya harga yang diperolehi adalah lebih rendah.

Arun berkata lanjut, golongan peniaga juga diingatkan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang gagal mematuhi peraturan di bawah skim ini.

Peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti seperti berikut:

(i) Kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum:

(a) Individu: Boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000; dan


(b) Syarikat: Boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000;

(ii) Kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal:

(a) Individu : Boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000; dan

(b) Syarikat : Boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000.

Arun berkata lanjut, pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan berada di lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai membeli-belah seperti pasar awam, pasar tani dan pasaraya untuk menjalankan pemeriksaan dan pemantauan.

“Ini adalah tindakan berterusan dalam usaha melindungi pengguna daripada aktiviti pengambilan keuntungan yang berlebihan oleh peniaga yang tidak beretika semasa musim perayaan.

“Selain itu, pegawai pemantau harga di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan menjalankan pemantauan harga barangan secara berterusan untuk memastikan skim ini dilaksanakan dengan lebih berkesan.

“Pada masa yang sama, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan mendapatkan kerjasama daripada Friends Of KPDNKK (FoK), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Skuad Pengguna, ketua kampung dan pemimpin masyarakat untuk membantu kementerian dengan memantau dan memberi maklum balas mengenai pelaksanaan skim ini,” katanya.




Arun menjelaskan skim itu dilaksanakan supaya pengguna dapat memperoleh barangan keperluan musim perayaan pada harga yang berpatutan dan menyekat daripada peningkatan harga yang melampau. Selain itu, ia juga merupakan antara langkah kerajaan untuk mengurangkan beban kos sara hidup rakyat dalam negara.

“Peniaga hendaklah mematuhi arahan yang dikenakan dan mengamalkan sikap beretika dalam menguruskan perniagaan manakala pengguna mestilah mengetahui tanggungjawab dan menggunakan hak mereka. Skim ini akan berjaya sekiranya semua pihak bertanggungjawab dan memainkan peranan masing-masing,” katanya.

12. Jika didapati ada peniaga yang tidak mematuhi undang-undang berkenaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan ini, pengguna boleh menyalurkan aduan kepada pihak Kementerian melalui saluran berikut:

* Talian 03-8000 8000 1Malaysia One Call Centre (1MOCC);

* Talian bebas tol Pusat Informasi dan Gerakan Operasi Strategik (PIGOS) 1-800-886-800;

* aplikasi telefon pintar Ez ADU;

* Emel ke alamat e-aduan@kpdnkk.gov.my;

* SMS ke 15888 dengan menaip “KPDNKK ADUAN ”; atau

* lapor atau hadir ke pejabat KPDNKK Wilayah Persekutuan Labuan atau Kaunter Khidmat Pengguna (K2P) di UTC Pasar Sentral, WP Labuan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *