Rumah hangus terbakar di Sungai Labu semalam

FOTO: KEADAAN rumah tersebut yang hangus terbakar. 

1 Januari 2017

LABUAN – Sebuah rumah bersama dengan sebuah kereta Proton Iswara dan motosikal jenis Scrambler terbakar dalam satu insiden kebakaran yang berlaku semalam di Kampung Sungai Labu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan, Jainal@Zainal Madasin berkata pada pagi ini, pihak mereka telah menerima panggilan mengenai kejadian tersebut pada jam 11.26 malam kelmarin.

“Sembilan puluh peratus rumah jenis papan tersebut telah hangus terbakar. Ketika kejadian itu, penghuni rumah tersebut iaitu kedua suami isteri yang dikenal pasti sebagai Senawi Rastin dan Noriah Padin berada di dalam rumah.




“Namun demikian, tiada kecederaan yang melibatkan kematian dalam insiden ini,” katanya dan menambah anggota bomba dan penyelamat tiba di tempat kejadian tiga minit setelah menerima panggilan tersebut.

Sejumlah enam anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Layangan terlibat didalam operasi memadam kebakaran demikian.

Mereka dibantu oleh lapan anggota bomba sukarela Kampung Sungai Labu, dimana operasi memadam kebakaran itu tamat pada jam 1 pagi.

Sementara itu, punca kejadian dan anggaran kerugian masih lagi dalam siasatan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *