Gangguan bekalan air di Labuan dijangka pulih sepenuhnya pada 9 Januari ini

4 Januari 2017

LABUAN – Gangguan bekalan air yang berlaku di beberapa kawasan di Pulau Labuan dijangka pulih sepenuhnya pada 9 Januari ini.

Pengarah Jabatan Bekalan Air Labuan, Alvin Michael Lo (gambar) berkata pada hari ini, pihak mereka telah mengesan paip pecah kelmarin pada rangkaian utama paip yang terletak di Pulau Enoe-Jalan Kolam.

“Paip yang pecah itu telah menyebabkan pengurangan bekalan air ke rangkaian agihan dan telah memberikan kesan kepada tangki servis Pohon Batu yang mana pengguna di kawasan tersebut tidak mendapat bekalan air yang mencukupi dan berterusan,” katanya.

Beliau berkata lanjut, sepanjang tempoh gangguan, pihak jabatan telah mengambil beberapa langkah untuk menyampaikan bekalan air kepada pengguna yang terlibat.

Antara langkah tersebut ialah perkhidmatan penghantaran bekalan air melalui lori tangki air, mewujudkan stesen pengambilan air di balai raya dan surau kampung, catuan pada tangki servis Pohon Batu sehingga 8 Januari ini dan kerja pembaikan paip pecah di Pulau Enoe-Jalan Kolam yang akan mula dilaksanakan pada esok hari (5 Januari).

Alvin turut berkata, sepanjang tempoh gangguan bekalan air tersebut, pihak Jabatan Bekalan Air Labuan akan bekerjasama dengan pihak Perbadanan Labuan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Labuan untuk menyediakan perkhidmatan penghantaran bekalan air melalui lori tangki air.

Lebih kurang 1,700 akaun pengguna bekalan air yang berdaftar dengan Jabatan Bekalan Air Labuan terkesan dengan gangguan bekalan air tersebut, dimana kawasan Pohon Batu, Layang-Layangan dan Kiamsam merupakan tempat yang paling kritikal mengalami gangguan demikian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *